Solarvest, SIC bekerjasama pacu pembangunan solar fotovoltaik atas bumbung kediaman di Malaysia

13 Jul 2023 • 5:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Solarvest, SIC bekerjasama pacu pembangunan solar fotovoltaik atas bumbung kediaman di Malaysia

diyana

13/07/2023 - 17:53

KUALA LUMPUR 13 Julai - Solarvest Holdings Berhad, melalui cabang solar kediamannya, Vestech Energy Sdn Bhd (Vestech), telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) untuk mempercepatkan pembangunan sistem solar fotovoltaik (PV) atas bumbung kediaman di Malaysia.

SIC merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan tumpuan utama perniagaan pada pembangunan hartanah, perdagangan bahan binaan, pembangunan bandar pintar dan perkhidmatan kewangan.

Di bawah MoU ini, SIC akan mempromosi dan menyedia rumusan solar kediaman kepada kakitangan PKNS, termasuk melalui skim potongan gaji, membolehkan mereka memperuntukkan sebahagian daripada gaji bulanan mereka untuk pemasangan sistem solar PV, menurut satu kenyataan media bersama hari ini.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kakitangan SIC dan PKNS akan berpeluang mendapat manfaat daripada pilihan pembiayaan dan berpatutan yang menghapuskan keperluan untuk bayaran pendahuluan, menjadikan peralihan kepada tenaga hijau lebih mudah dicapai,” tambahnya.

Solarvest dan SIC menambah, MoU itu akan memudahkan kerjasama rapat dan perkongsian maklumat untuk mengenal pasti peluang perniagaan bagi menggabungkan sistem solar PV ke dalam projek pembangunan perumahan baharu untuk orang awam.

Sebagai rakan kongsi teknologi SIC, Solarvest akan menyumbang kepakaran termaju dan rumusan inovatif solar PV, serta meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan keberkesanan keseluruhan rumusan solar kediaman yang disediakan kepada semua pemilik rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Wan Muhd Hisham Wan Hawari berkata perkongsian itu sejajar dengan komitmen syarikat terhadap kemampanan, serta dedikasinya untuk menegakkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat memperkasakan pekerja dan orang awam Malaysia untuk menerima kehidupan mampan, sekali gus memupuk impak positif dalam perjalanan peralihan tenaga bersih negara.

“Selain itu, penggunaan rumusan solar PV membawa penjimatan jangka panjang yang besar dan bertindak sebagai perlindungan terhadap kenaikan tarif elektrik,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong menzahirkan komitmen kumpulan menggunakan kepakaran dan sumber dalam memacu penggunaan program solar PV atas bumbung di pasaran Malaysia melalui kerjasama itu.

“Dengan menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih, kami berusaha untuk memudahkan landskap tenaga lebih mampan dan kos efektif di Malaysia yang memberi manfaat kepada individu dan alam sekitar,” ujar beliau.

Saham Solarvest ditutup pada RM1.25, naik 2 sen atau 1.6%, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM834.4 juta. - DagangNews.com