
KUALA PILAH – Solat bukan sekadar kewajipan kepada umat Islam, malah menjadi asas membentuk kekuatan jiwa, memelihara keimanan dan membina akhlak mulia dalam kehidupan seharian.
Perkara itu antara mesej yang ditekankan menerusi khutbah Jumaat bertajuk Membenteng Jiwa dengan Solat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah, hari ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau berkesempatan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat di masjid berkenaan yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Juasseh.
Menurutnya, masjid memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah, selain menjadi medan mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata demikian menerusi perkongsian di Facebook selepas menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Mengulas khutbah tersebut, beliau berkata, penghayatan terhadap ibadah solat mampu mendidik umat Islam menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman.
“Orang yang benar-benar menghayati makna sujud akan berusaha menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman.
“Dia menyedari bahawa setiap manusia ialah hamba Allah SWT yang wajib dihormati haknya dan diperlakukan dengan adil,” menurut perkongsian itu.- KOSMO! ONLINE
The post Solat benteng jiwa, jauhi sombong dan kezaliman – Ismail appeared first on Kosmo Online.



