Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim berkongsi pesanan khutbah Jumaat mengenai kepentingan solat dalam membentuk akhlak mulia, termasuk menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman.
Perkongsian menerusi Facebook itu dibuat selepas beliau menunaikan solat Jumaat bersama penduduk setempat di Masjid Kariah Beting, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Kuala Pilah.

Menurut Ismail, khutbah bertajuk ‘Membenteng Jiwa dengan Solat’ menekankan bahawa ibadah berkenaan bukan sekadar tuntutan agama, malah berperanan mendidik umat Islam supaya sentiasa merendah diri dan berlaku adil terhadap orang lain.

Antara pengajaran yang diketengahkan ialah makna sujud yang mengingatkan manusia tentang kedudukan mereka sebagai hamba Allah SWT, selain melatih diri mengawal hawa nafsu serta keinginan untuk sentiasa dipuji dan dihormati.
Dalam hantaran sama, Ismail turut menyentuh peranan masjid sebagai tempat menyatukan masyarakat dan mengukuhkan hubungan silaturahim.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan menunaikan Solat Jumaat bersama masyarakat setempat di Masjid Kariah Beting, Kuala Pilah di kawasan DUN Juasseh sebagaimana yang direncanakan mengikut jadual mingguan.
“Saya amat menghargai peranan masjid sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah, bukan sahaja dalam mengimarahkan syiar Islam, malah sebagai tempat mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut berharap agar umat Islam terus istiqamah menunaikan ibadah, menjaga akhlak dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Khatib berpesan, orang yang benar-benar menghayati makna sujud akan berusaha menjauhi sifat sombong, kebencian dan kezaliman. Dia menyedari bahawa setiap manusia ialah hamba Allah SWT yang wajib dihormati haknya dan diperlakukan dengan adil.
“Sujud juga melatih manusia mengawal nafsu yang sentiasa menginginkan pujian, penghormatan dan keutamaan,”kongsi beliau.
Perkongsian itu dibuat tidak lama selepas tular sebuah video memaparkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menzahirkan kemurkaan terhadap Ismail dalam satu pertemuan yang dipercayai berlangsung di sebuah masjid.

Dalam rakaman tersebut, baginda dilihat enggan menerima Ismail menghadap selagi kenyataan berhubung kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak ditarik balik.
Baginda turut mendakwa Ismail sebelum ini mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, kandungan sebenar surat berkenaan serta konteks penuh video tular itu belum dapat dipastikan secara bebas.
Sumber: FB Dato’ Ismail Bin Lasim






