Solat Berjemaah Jadi Asbab Selamatkan 90 Pelajar Daripada Kebakaran

29 Apr 2025 • 10:08 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kebakaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak melibatkan kira-kira 90 pelajar disahkan selamat tanpa meragut nyawa asbab daripada solat Isyak berjemaah di surau.

Solat berjemaah selamatkan pelajar SMK Tinggi Setapak

image is not available

Foto: Harian Metro

Difahamkan, sewaktu kejadian berlaku kesemua pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun tiada di dalam asrama dan sudah mula berada di surau sekolah.

Menurut laporan Harian Metro, Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Japari Tajuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.43 malam.

Beliau memberitahu sebanyak empat jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Sentul, BBP Jalan Hang Tuah serta BBP Gombak Selatan telah dikerah ke lokasi kejadian dibantu bersama pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

image is not available

Foto: Shahrimtamrin

“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran membabitkan tingkat satu bangunan asrama pelajar lelaki di sekolah berkenaan.

“Operasi memadamkan kebakaran yang membabitkan kekuatan 40 anggota segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada 9.40 malam,” kata Japari malam tadi.

Sementara itu, Japari berkata api dapat dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian dan dianggarkan kemusnahan mencecah hampir 80 peratus.

“Bagaimanapun, tiada mangsa yang terbabit (cedera) kerana semasa kejadian kesemua pelajar sedang berada di surau,” katanya.

image is not available

Foto: BernamaTV

Dalam pada itu, Unit Forensik JBPM akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran terjadi dan jumlah kerugian yang ditanggung dalam tempoh waktu terdekat.

Sumber: Harian Metro Raja Nuraina Raja Rahim