Solat hajat berjemaah dianjur, Khairil Izani kanak-kanak jatuh longkang dibawa arus deras belum ditemui

29 Apr 2026 • 3:18 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Solat hajat berjemaah dianjur, Khairil Izani kanak-kanak jatuh longkang dibawa arus deras belum ditemui

LEBIH 24 jam masih belum ditemui, kanak-kanak Khairil Izani Khaizalullinordin, 10, masih belum ditemui.

Dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Bandar Puncak Alam, usaha mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa. 

Kejadian itu turut mengundang kebimbangan orang ramai. Menerusi laman sosial, komuniti setempat mengadakan solat hajat berjemaah bagi mendoakan keselamatannya.

"Adik yang jatuh tergelincir dalam longkang petang semalam masih belum dijumpai sampai ke saat ini,  10.34 pagi 29 April 2026). 

"Latest update dari group, solat hajat di Lorong Cakera Purnama 12/30. Semoga ALLAH permudahkan segalanya," titip seorang pengguna Threads.

Hantaran berkenaan menuai empati ramai. Rata-rata warganet mendoakan agar Khairil Izani ditemui segera.

"Sedihnya Ya ALLAH. Berat mata memandang, berat lagi hati yang memikul. Semoga dijumpai secepat mungkin."

"Semoga diberi kekuatan buat keluarga mangsa. Sedihnyaa baca Ya ALLAH permudahkanlah usaha pencarian adik ni."

"Allahu sedihnya. Semoga ditemui semula hari ini. Insya-ALLAH."

Image from: Solat hajat berjemaah dianjur, Khairil Izani kanak-kanak jatuh longkang dibawa arus deras belum ditemui

Terdahulu, Khairil Izani terjatuh di Lorong Cakera Purnama 12/30, Taman Puncak Alam Fasa 3 pada 3.30 petang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat.

Menurut Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Azreel Izaidi Ahamad, pencarian bermula dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh dan telah diperluaskan sehingga radius lima kilometer dengan tumpuan pencarian sepanjang laluan air hingga ke Taman Industri Alam Jaya pada Rabu.

"Kaedah pencarian dibuat berdasarkan aliran air berikutan arus deras yang dipercayai menghanyutkan mangsa.

"Pencarian dibuat mengikut laluan air dan kita turut meneliti kemungkinan terdapat pecahan aliran di beberapa bahagian termasuk di kawasan sekitar," katanya di lokasi pusat kawalan operasi di sini pada Rabu.

Difahamkan, operasi semalam ditamatkan kira-kira jam 4.30 pagi sebelum disambung semula pada jam 8 pagi ini.

Seramai 19 anggota terlibat membabitkan Balai Bomba Bestari Jaya, Pasukan Penyelamat Di Air (PDA) serta Unit K9 serta pihak polis terlibat dan pencarian hari ini memberi fokus kepada Unit K9 di lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh iaitu di titik dikenali sebagai Point C.

Unit K9 diguna  untuk mengesan sebarang petunjuk atau kesan sebelum pencarian diteruskan ke kawasan seterusnya.

Setakat ini, kawasan awal mangsa dilaporkan terjatuh telah diperiksa beberapa kali termasuk oleh anggota dan juga bapa mangsa, namun tiada sebarang penemuan diperoleh.

Image from: Solat hajat berjemaah dianjur, Khairil Izani kanak-kanak jatuh longkang dibawa arus deras belum ditemui

"Kaedah pencarian di culvert tidak melibatkan selaman berikutan paras air yang rendah, sebaliknya anggota hanya menyusuri kawasan tersebut.

"Bagaimanapun, Pasukan Penyelamat di Air (PDA) dan skuba bomba telah melakukan selaman di kawasan lebih dalam semalam dan hari ini kita ulang semula pemeriksaan di lokasi berkenaan,” katanya.

Pemeriksaan turut dilakukan di laluan bawah tanah termasuk manhole dari Point C hingga ke kawasan hadapan yang mempunyai selekoh.

"Selepas Unit K9 selesai, mereka akan bergabung dengan pasukan lain untuk menyusuri kawasan seterusnya sehingga ke muara pertemuan sungai kecil dengan Sungai Buloh.

"Operasi dijalankan mengikut pelan tindakan insiden secara berperingkat dengan keutamaan diberikan berdasarkan situasi semasa," katanya.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.47 malam sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya tiba di lokasi kejadian pada 8.13 malam.

Sumber: Threads, Sinar Harian