
Tanggal 26 September lalu, genap sebulan tragedi banjir besar di Nepal. Namun, episod penantian 55 rakyat Malaysia yang masih gagal dijejaki keberadaan mereka, belum lagi menemui noktahnya.
Semakin hari, makin berat kerinduan keluarga terhadap insan tersayang yang hilang tanpa khabar berita.
“Satu panggilan telefon, satu mesej dan satu khabar.” Itu sahaja yang dinanti ahli keluarga ketika ini.
“Di mana mereka berada?” Persoalan itu terus bermain di fikiran keluarga yang hanya mampu menanti, berharap dan berdoa agar ada khabar mengenai insan tersayang.
Namun, jika takdir menentukan sebaliknya, keluarga hanya mengharapkan jasad mereka ditemukan agar dapat disempurnakan.
Mufti Pulau Pinang, Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, umat Islam disaran terus menunaikan solat hajat, berdoa dan bermunajat memohon keselamatan 55 rakyat Malaysia yang masih hilang di Nepal.
Menurutnya, berdasarkan perkembangan semasa, kesemua 55 rakyat Malaysia berkenaan masih berstatus hilang dan belum ada pengesahan rasmi bahawa mereka telah meninggal dunia.
“Pihak berkuasa masih menunggu proses pengesahan termasuk padanan asid deoksiribonukleik (DNA), manakala operasi pencarian oleh pihak berkuasa Nepal juga belum ditamatkan.
“Dari sudut hukum syarak, belum disyariatkan solat jenazah ghaib ke atas mereka semata-mata kerana telah lama hilang atau kerana kebarangkalian mereka meninggal dunia sangat tinggi.
“Ini kerana solat jenazah termasuk solat jenazah ghaib ialah ibadah yang berkaitan dengan kematian seseorang yang telah diketahui atau disahkan, bukan semata-mata berdasarkan sangkaan.
“Dalam konteks orang hilang (al-mafqud), pada asalnya seseorang itu dihukum masih hidup sehingga terdapat bukti atau keputusan yang menetapkan kematiannya,” katanya kepada Kosmo! di sini.
Jelas beliau, status orang hilang (al-mafqud) bukan sahaja mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan solat jenazah, malah turut melibatkan perkara lain termasuk faraid, perkahwinan, harta dan hak berkaitan.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan yang lebih tepat ketika ini adalah tidak mengadakan solat jenazah ghaib secara khusus atas nama individu beragama Islam dalam kalangan 55 rakyat Malaysia yang masih berstatus hilang.
Sebaliknya, katanya, sangat digalakkan melakukan solat hajat, qunut nazilah jika diputuskan pihak berautoriti, berdoa dan bermunajat agar mereka ditemukan, dipermudahkan operasi pencarian dan keluarga mereka diberikan kekuatan.
Menurut beliau, doa sedemikian sesuai dipanjatkan kerana tidak mendahului pengesahan kematian, namun pada masa sama merangkumi kedua-dua kemungkinan yang masih terbuka ketika ini.
“Justeru, apabila kematian seseorang telah disahkan dan memenuhi ketetapan hukum, barulah solat jenazah ghaib boleh dilaksanakan bagi mangsa Muslim berkenaan,” katanya.
Bagi penulis pula, selagi jawapan belum ditemui, usah sesekali padamkan harapan keluarga. Teruskan berdoa dan berusaha mencari selagi mampu kerana ada keluarga yang masih setia menanti di sini.
The post Solat jenazah ghaib apabila kematian disahkan appeared first on Kosmo Online.


