Solidariti Rakyat, Laungan ‘Justice For Zara’ Bergema Di Tengah Kuala Lumpur

LocalPolitics
16 Aug 2025 • 3:10 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Suasana sebak menyelubungi hadapan pusat beli-belah Sogo malam ini apabila lagu Justice For Zara Qairina bergema disusuli laungan solidariti ‘Justice For Zara’ oleh warga kota.

Tuntut Keadilan

Himpunan yang dimulakan dengan bacaan doa itu dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menuntut keadilan atas kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina, yang dikaitkan dengan isu buli.

Peserta berpakaian serba hitam membawa plakad, kain rentang dan sepanduk bertulis Justice For Zara sebagai tanda sokongan kepada keluarga mangsa.

Solidariti Rakyat

Ratusan orang ramai pelbagai latar belakang hadir dalam Himpunan Solidariti Demi Adik Zara yang bermula jam 8 malam. Turut kelihatan pempengaruh media sosial menyertai perhimpunan aman itu.

Laungan ‘Justice For Haris’ juga kedengaran, sebagai solidariti terhadap Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, pelatih PALAPES UTM Skudai, yang kesnya turut menimbulkan persoalan.

Kawalan Polis & Reaksi

Sepanjang perhimpunan, anggota polis ditempatkan di lokasi bagi memastikan keadaan terkawal. Setakat ini, himpunan berlangsung secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Kematian Zara Qairina telah mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat, malah turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa menerusi perkongsian di media sosial sejak minggu lalu.

Latar Belakang

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di halaman asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, 17 Julai.

Jabatan Peguam Negara mengarahkan mayatnya digali semula untuk bedah siasat, dan inkues akan dijalankan bagi merungkai kebenaran di sebalik tragedi tersebut. – The Malaysian Update