Solidariti Serumpun: Rakyat Indonesia Terharu Bantuan Dari Malaysia

1 Sep 2025 • 1:15 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Ketika demonstrasi besar-besaran di Indonesia masih hangat diperkatakan, muncul satu sisi indah yang memperlihatkan eratnya hubungan serumpun apabila rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan dengan cara tersendiri.

Pesan Makanan Demi Solidariti

Tidak sekadar menzahirkan solidariti di media sosial, ada rakyat Malaysia yang sanggup menukar tetapan lokasi aplikasi penghantaran makanan ke bandar-bandar utama Indonesia. Pesanan itu bukan untuk diri sendiri, sebaliknya disedekahkan kepada rakyat yang terkesan, termasuk penghantar makanan (ojol) yang turun ke jalanan.

Viral di Media Sosial Indonesia

Fenomena ini tular di media sosial Indonesia apabila ramai warganya berkongsi rasa terharu melihat sokongan luar biasa dari jiran serantau. Perkongsian video oleh pengguna TikTok @katabroto antara yang menarik perhatian ramai.

“Malaysia, Singapura, Thailand… ramai warga mereka ubah lokasi aplikasi ojol ke Indonesia. Berbondong-bondong kirim makanan untuk para driver yang demo. Gue sampai merinding lihat solidaritas ini,” kata seorang pengguna media sosial Indonesia dalam satu video.

Ucapan Terima Kasih Netizen

Lebih menyentuh hati, ruang komen juga dipenuhi ucapan penghargaan dan jenaka serumpun. Seorang pengguna menulis, “Laut memisah jasad, bukan jiwa. Gugur air mata kalian, gugur juga nurani kami,” manakala yang lain berseloroh, “Sekarang kita bantu dulu, nanti sudah pulih kita sambung gaduh… awas kalian .” Ada juga yang mengingatkan, “Indonesia kalian lah saudaraku, tapi rendang tetap from Malaysia ya,” selain ada yang bersyukur sambil berpesan, “Makasih ya dik Malay. Nanti kita ribut lagi masalah bola, batik dan baso.”

Semangat Nusantara

Gelombang solidariti ini bukan sahaja menjadi bukti kasih sayang serumpun, malah mengingatkan bahawa dalam detik sukar, rakyat Asia Tenggara mampu bersatu hati.

Walaupun perbezaan budaya, bola sepak, malah makanan sering menjadi bahan usikan, krisis ini membuktikan hubungan Malaysia–Indonesia jauh lebih kukuh daripada apa yang kelihatan di permukaan. – The Malaysian Update

The post Solidariti Serumpun: Rakyat Indonesia Terharu Bantuan Dari Malaysia appeared first on The Malaysian Update.