Sony Alpha 1 Mark II dilancarkan hari ini sebagai model kemas kini untuk A1 Mark 1 yang dilancarkan pada tahun 2021. Ia membawakan beberapa penambahbaikan bagi menjadikan antara kamera nircermin pilihan penghasil kandungan.
Dari segi rekaan, kamera Alpha 1 II mengekalkan rekaan kamera Alpha E-mount yang lain, tetapi dari segi spesifikasi dalaman, ia menggunakan sensor Exmor RS 50.1MP Stacked CMOS dan pemproses imej BIONZ XR yang mampu mengambil gambar pada kadar 30FPS. Ini adalah sama seperti Mark I tetapi menurut Sony sistem pemfokusan kini lebih pantas.

Sony berkata kemampuan menjejak mata pada burung 50% lebih pantas, 30% pada haiwan dan 30% pada manusia dengan bantuan kecerdasan buatan (AI). Sistem pemfokusan kini dapat mengenalpasti subjek secara automatik tanpa perlu campur tangan pengguna. Sistem IBIS juga lebih baik dengan sokongan sehingga 8.5 stops.
Dari segi kemampuan video, kamera Alpha 1 II ini boleh merakam video pada resolusi 8K 30p, 4K 120p dan 10-bit 4:2:2. Mod pra-tangkapan membolehkan gambar subjek diambil beberapa saat sebelum butang pengatup ditekan.

Bercakap mengenai butang, beberapa butang kawalan tambahan turut diberikan bersama dengan rekaan semula tubuh supaya lebih ergonomik. Disamping itu tubuh juga lebih ringan sekitar 743 gram tanpa lensa. Di bahagian belakang, panel LCD sesentuh kini boleh berputar multi arah.
Menurut Sony, kamera Alpha 1 II ini akan mula dijual pada Disember 2024 pada harga $6500 (~RM 29,000) untuk tubuh sahaja yang sama seperti harga pengenalan Mark I. Di Malaysia Mark I dijual pada harga RM27,599 dan diharap tiada perubahan pada harga dilakukan kelak.

