Sony Lancarkan PlayStation 5 Yang 25% Lebih Murah Tetapi Hanya Di Jepun

TechnologyGaming
12 Nov 2025 • 9:50 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Baru-baru ini Sony Malaysia mengurangkan harga jualan PlayStation 5 sebanyak RM480 sempena promosi 11.11 dengan ia akan berakhir esok. Tetapi di negara mereka sendiri, Sony mula menawarkan PlayStation 5 pada harga 25% lebih murah berbanding harga asal.

image is not available

Di Jepun PlayStation 5 Digital Edition dijual pada harga ¥55,000 (~RM 1469) berbanding harga asal ¥73,000 (~RM 1950). Ini adalah lebih murah berbanding harga konsol yang sama di Malaysia iaitu RM 2069 sebuah atau RM 1589 sempena promosi 11.11.

Konsol ini hanya menyokong Bahasa Jepun dengan ia hanya boleh menjalan permainan pasaran Jepun. Jadi jika anda membelinya sendiri, tetapan bahasa dan negara tidak boleh diubah. Sony menawarkan konsol ini di Jepun sebagai cara mengurangkan impak nilai Yen yang semakin lemah dan peningkatan harga konsol disebabkan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.

PlayStation 5 Digital Edition versi Jepun akan mula dijual pada 21 November. Ia menjadi konsol pertama dikeluarkan Sony yang dikunci tetapan bahasa dan negara sejak PlayStation 2.