Sony kini mendedahkan bahawa terdapatnya produk baharu akan diperkenalkan pada 21 Januari 2026. Berdasarkan maklumat awal, ia berkemungkinan fon telinga nirwayar baharu yang dipasarkan dengan slogan ‘Discover a new form of listening’. Hal ini menunjukkan Sony seakan menyediakan sesuatu yang berbeza berbanding kebiasaan untuk produk kali ini.

Beberapa imej tular memperlihatkan rekaan fon telinga terbuka sejenis subang, yang kini menjadi trend dalam kalangan pengeluar lain. Produk ini turut tertiris melalui laman Blibli sebelum ditarik balik. Dari segi rekaan, ia dilihat menyerupai elemen yang pernah dibawakan oleh Huawei manakala pod pengecas pula seakan mirip dengan yang pernah ditawarkan oleh Samsung.

Peranti ini juga mungkin dikenali sebagai Sony LinkBuds Clip dengan pilihan warna hitam, ungu, hijau dan putih. Tumpuan utama diberikan kepada ketahanan bateri yang lebih panjang berbanding model LinkBuds Open dan Fit sebelum ini iaitu melebihi 8 jam. Selain itu, ia dijangka hadir dengan ciri serta fungsi yang lebih baik untuk memberikan pengalaman audio yang lebih imersif.



