Sony WF-1000XM5 Kini Rasmi – Bateri 24 Jam, Kalis Air IPX4 Dan Harga RM1399

TechnologyDigital
25 Jul 2023 • 8:12 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Fon telinga Sony WF-1000XM5 dilancarkan secara rasmi lewat malam semalam. Tahun ini kemas kini dilakukan bukan sahaja pada ciri-ciri TWS tetapi juga pada saiz fizikalnya. Berbanding model WF-1000XM4, putik audio tahun ini adalah lebih kompak bagi memberikan sambungan kepada telinga yang lebih kedap.

image is not available

Penambahbaikan yang dilakukan pada perisian akan menawarkan sistem pembatalan hingar (ANC) yang lebih baik menurut Sony. Terdapat sensor aliran tulang pada tubuh putik telinga yang membolehkan suara pemakai kedengaran lebih jelas ketika digunakan untuk panggilan suara. Dengan pemandu Dynamic Driver X pula, pengalaman audio resolusi tinggi, DSEE dan audio spatial boleh dinikmati. Codec yang disokong pula adalah SBC, AAC, LDAC dan LC3.

Terdapat pad sesentuh pada sisi untuk mengawal muzik. Panggilan telefon pula boleh diangkat oleh pemakai dengan hanya menundukkan kepala sahaja. Bagi pemilik peranti Android, tambatan Fast Pair disokong secara terbina. Seperti majoriti produk audio moden, WF-1000XM5 menyokong tambahan kepada dua peranti serentak. Ia juga boleh digunakan untuk bersukan kerana melepasi piawaian IPX4.

image is not available

Dari segi bateri pula setiap putik telinga boleh bertahan sehingga 8 jam. Dengan bantuan pod simpanan pula, waktu operasi sehingga 24 jam boleh dinikmati. Pengecasan selama 3 minit pula dapat menawarkan penggunaan sehingga 60 minit. TWS boleh dicas semula menggunakan kabel USB-C ataupun nirwayar Qi.

image is not available

Di Malaysia dijual pada harga RM1399 dalam warna hitam dan perak dengan penawaran pemegang pasport percuma diberikan dengan setiap pembelian serta berpeluang memenangi sebuah kamera Sony ZV-1F.

*artikel dikemaskini sebelum ini laman Sony Malaysia meletakkan harga RM1299 tetapi ia telah diubah harga baharu RM1399

image is not available