Sony Xperia 1 VII turut dilancarkan pagi ini dengan ia tidak membawakan perubahan ketara pada rekaan luaran dengan penambahbaikan diberikan pada cip pemprosesan dan sensor kamera yang dipertingkat. Peranti masih menggunakan skrin 6.5 AMOLED LTPO 120Hz yang menyokong paparan HDR BT.2020. Ia dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Elite, memori 12GB RAM dan storan 256GB sahaja tetapi dengan sokongan kad mikro SD.

Bateri kekal 5000 mAh dengan pengecasan pantas 30W sahaja secara berwayar,15W secara nirwayar dan berbalik juga secara nirwayar. Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 48MP, lensa ultra sudut lebar 48MP dan lensa telefoto 12MP. Di hadapan sensor 12MP digunakan untuk kamera swafoto. Teknologi kamera Sony Alpha diterapkan dalam perisian dengan terdapat ciri Auto Framing yang memastikan subjek sentiasa berada dalam bingkai gambar.

Pada sisi kanan terdapat pengimbas cap jari terbina pada butang kuasa dan juga satu butang pengatup kamera. Peranti juga masih mempunyai bicu audio 3.5mm dan tubuh melepasi piawaian IP68. Sistem audio stereo menyokong dua speaker menembak he hadapan dengan perisian Sony Walkman.

Sony Xperia 1 VII menggunakan Android 15 dengan ia akan menerima kemas kini 4 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti. Peranti dijual pada harga €1499 (~RM7220) sebuah dalam warna Black, Moss Green, dan Orchid Purple. Peranti telah disenaraikan di laman Sony Malaysia tetapi harga tempatan belum lagi diumumkan.

