
KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan memperkemaskan aspek fizikal dan mental mereka, sebelum bertemu pasangan nombor satu dunia Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dari China, pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2023, Khamis ini.
Shevon, pemenang perak Sukan SEA Filipina 2019 berkata persiapan yang sempurna perlu dilakukan, bagi memastikan mereka dapat menguasai gelanggang di hadapan peminat badminton tanah air.
“Pusingan kedua sebenarnya satu tahap pertandingan berbeza, kerana kita akan lawan pasangan nombor satu dunia. Jadi kita perlu berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja dari segi fizikal, teknikal, taktikal tetapi juga set pikiran sebelum berjumpa pihak lawan.
“Mental memang perlu bersedia untuk atasi, di mana beberapa kali kami tewas disebabkannya, namun dengan adanya persediaan yang betul, semuanya mampu dilakukan,” katanya selepas menyingkirkan pasangan Taiwan Chang Ko Chi-Lee Chih Chen, 21-15, 21-13.
Sementara itu, beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berkata sorakan peminat tanah air tanpa henti yang menyebabkan mereka bangkit pada rubber set, ketika menentang pasangan ke-27 dunia, Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China, 21-13, 20-22, 21-15.
“Kejohanan pertama tahun ini memang rasa teruja sebab yang pertama ini di tempat sendiri. Kebangkitan di set ketiga sebab kita lebih bersemangat dari setiap mata ke mata seterusnya,” kata Yew Sin.
Pemenang gangsa Kejohanan Badminton Dunia 2021 di Huelva, Sepanyol itu, akan bertemu pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han, pada pusingan kedua.
Yew Sin, berkata sudah bersedia untuk berlawan setelah corak permainan pasangan berkenaan hampir sama bersama mereka, di mana hampir menguasai gelanggang depan dan belakang. -Bernama
