JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor akan memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi jualan mercun dan bunga api susulan kejadian khemah terbuka menjual mercun dan bunga api terbakar di Kampung Dato Sulaiman Menteri, di sini pada Isnin.
Kejadian pada kira-kira jam 8.32 malam itu turut mengakibatkan sebuah kereta dan lori 'food truck' musnah terbakar.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, aktiviti penjualan mercun tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh pihak polis, selain lesen perniagaan serta kelulusan lokasi di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kerajaan negeri melihat keperluan untuk memperketatkan syarat sedia ada, termasuk menetapkan lokasi jualan yang lebih jauh daripada kawasan orang ramai serta meneliti semula jumlah dan jenis mercun yang dijual.
"Selain itu, cadangan turut melibatkan keperluan menghadiri kursus teknikal kepada peniaga, khususnya bagi meningkatkan tahap keselamatan pengendalian bahan letupan ringan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, antara cadangan utama yang akan diberikan tumpuan termasuk mewajibkan penyediaan peralatan keselamatan seperti alat pemadam api serta pematuhan jarak selamat dari kawasan tumpuan awam.
"Langkah penambahbaikan ini dijangka akan dilaksanakan menjelang musim perayaan tahun hadapan bagi memastikan keselamatan orang ramai dan peniaga terus terjamin.
"Setakat ni, keadaan terkawal dan Johor merekodkan satu kes sahaja. Kita tak boleh menggambarkan satu kes itu kerana ia melibatkan beribu peniaga yang lain," katanya.

