Sorento Capital meterai penjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank untuk IPO di Pasaran ACE
herman
03/09/2024 - 15:33
KUALA LUMPUR 3 Sept - Penyedia rumusan kelengkapan bilik mandi dan dapur, Sorento Capital BerhaD menandatangani perjanjian taja jamin dengan Alliance Islamic Bank Berhad sebagai sebahagian daripada tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO Sorento Capital melibatkan tawaran 229 juta saham biasa dengan terbitan awam sebanyak 155 juta saham dan tawaran untuk penjualan sebanyak 74 juta saham yang masing-masing mewakili 18% dan 8.6% daripada jumlah modal saham yang dikeluarkan yang diperbesarkan kepada 860 juta saham biasa setelah disenaraikan.
Daripada 155.0 juta saham baharu, 43.0 juta saham akan disediakan untuk orang awam Malaysia melalui undian, manakala 16.0 juta saham diperuntukkan untuk pengarah, kakitangan yang layak serta individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.
Baki 96.0 juta saham akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang dipilih dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Selain itu, daripada 74.0 juta saham yang akan ditawarkan untuk jualan melalui penempatan persendirian, 62.5 juta saham akan disediakan kepada pelabur terpilih dan baki 11.5 juta saham akan diperuntukkan untuk permohonan oleh pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.
Berdasarkan perjanjian penunderaitan, Alliance Islamic Bank akan menaja jamin 59.0 juta saham yang disediakan kepada orang awam Malaysia dan Peruntukan Borang Pink.
Syarikat dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada suku keempat 2024, dengan Alliance Islamic sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan untuk IPO tersebut.
Pengarah Urusan Sorento Capital, Loo Chai Lai berkata, perjanjian ini merupakan langkah penting menuju penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities yang akan memperkukuhkan lagi reputasi dan membuka peluang baru untuk pertumbuhan Syarikat.
“Industri peralatan sanitari bilik mandi dan dapur Malaysia dijangka didorong oleh pertumbuhan pasaran hartanah, yang dipacu oleh pertumbuhan ekonomi, peningkatan populasi, urbanisasi dan peningkatan kekayaan.
"Selain itu, ekonomi negara kita dijangka berkembang antara 4% hingga 5% pada 2024. Iklim ekonomi yang menggalakkan ini akan memacu pembangunan hartanah baharu dan projek pengubahsuaian, sekaligus meningkatkan permintaan terhadap produk kami," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chai Lai menambah, Sorento Capital komited untuk memanfaatkan trend pasaran yang menggalakkan ini apabila ruang bilik mandi dan dapur semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan keselesaan peribadi pelanggan seterusnya membantu mengekalkan kedudukan dalam industri.
“Hasil yang diperoleh daripada IPO akan diperuntukkan untuk pembelian inventori, penjenamaan dan pemasaran promosi serta pengembangan rangkaian pengedar kami dan jangkauan pengedaran.
"Langkah strategik ini selaras dengan pengembangan perniagaan kami dan bertujuan untuk memperluas jangkauan kami kepada asas pengguna akhir yang lebih luas melalui pengedar kami sambil mengukuhkan keterlihatan jenama kami,” jelasnya.
Sorento Capital menerusi anak-anak syarikatnya terlibat dalam pemasaran, pengedaran dan jualan peralatan bilik mandi dan dapur.
Kumpulan ini menawarkan portfolio produk yang komprehensif yang memenuhi pelbagai pilihan pelanggan, dari pilihan yang mampu milik hingga yang mewah.
Jenama-jenama terkenal termasuk 'Sorento', bersama 'Mocha', 'Cabana', dan 'i-Born'. Selain jenama rumahnya, Sorento Capital juga merupakan pengedar sah untuk jenama luar negara dalam produk bilik mandi dan dapur.
Ini termasuk pengedaran tidak eksklusif untuk jenama Jerman "Bravat" dan pengedaran eksklusif untuk jenama Sepanyol "Infinity" di Malaysia. - DagangNews.com

