Sorento Capital rekod pendapatan RM179.2 juta dan untung bersih RM26.2 juta bagi FY25

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2025 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sorento Capital rekod pendapatan RM179.2 juta dan untung bersih RM26.2 juta bagi FY25

image is not available

26/08/2025 - 09:49

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 OgosSorento Capital Berhad, penyedia kelengkapan bilik mandi dan dapur, mencatat prestasi kewangan kukuh dengan pendapatan tertinggi dalam sejarah syarikat pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25).

Syarikat itu merekodkan pendapatan sebanyak RM179.2 juta, meningkat 18.3% berbanding RM151.5 juta pada FY24, disokong oleh sumbangan lebih tinggi daripada jualan pengedar dan jualan berasaskan projek.

Pengarah Urusan Sorento Capital, Loo Chai Lai, berkata, jualan pengedar kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 65.9% daripada jumlah hasil, melonjak 20.8% tahun ke tahun kepada RM118.1 juta daripada RM97.8 juta pada FY24.

“Jualan berasaskan projek pula meningkat 12.2% kepada RM59.6 juta, menyumbang 33.3% daripada jumlah hasil manakala saluran dalam talian mencatat pertumbuhan lebih dua kali ganda kepada RM1.5 juta berbanding RM0.6 juta pada tahun sebelumnya.

“Seiring dengan pertumbuhan pendapatan, untung bersih meningkat 7.4% kepada RM26.2 juta, berbanding RM24.4 juta pada FY24.

“Jika tidak mengambil kira perbelanjaan sekali sahaja bagi penyenaraian IPO berjumlah RM3.1 juta, untung bersih terlaras Sorento Capital bagi FY25 adalah sebanyak RM29.3 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi suku keempat FY25 (4QFY25), syarikat melaporkan untung bersih RM7.9 juta dengan hasil RM43.3 juta, bersamaan margin keuntungan bersih 18.2%.

Sepanjang FY25, syarikat telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat bebas cukai sebanyak 0.5 sen sesaham berjumlah RM4.3 juta yang dibayar pada 21 Mac 2025.

Bagi FY26, Sorento Capital turut mencadangkan dividen interim satu peringkat bebas cukai 0.5 sen sesaham yang dijadual dibayar pada 19 September 2025.

Tambahnya, pencapaian itu membuktikan ketahanan kukuh kedua-dua saluran jualan pengedar dan projek, dipacu oleh momentum jualan yang lebih tinggi, aktiviti projek yang rancak serta permintaan pasaran yang berterusan.

“Pencapaian ini turut disokong oleh kempen pemasaran promosi berterusan yang meningkatkan daya saing jenama Sorento di pasaran,” katanya.

Mengulas prospek, Sorento Capital optimis terhadap industri kelengkapan bilik mandi dan dapur Malaysia yang dijangka terus berkembang, disokong oleh peningkatan pembinaan kediaman dan komersial, pembangunan bandar berterusan serta permintaan terhadap produk premium berjenama.

Tambahan pula, langkah Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75% pada Julai 2025 dijangka menyokong perbelanjaan pengguna dan permintaan perumahan.

Bagi memperkukuh penawaran produk, Sorento Capital bakal melancarkan barisan injap paip baharu yang menyasarkan segmen pasaran tanpa jenama dan masih kurang diterokai. Usaha ini dijangka memperluas rangkaian produk syarikat serta meningkatkan bahagian pasaran.

Dari segi kedudukan kewangan, syarikat mengekalkan kedudukan tunai bersih kukuh berjumlah RM33.1 juta, jauh mengatasi jumlah pinjaman RM6.0 juta. Dengan aliran tunai operasi bersih RM17.7 juta, profil hutang rendah itu memberi fleksibiliti untuk melaksanakan inisiatif pertumbuhan strategik sambil mengekalkan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

Untuk rekod, Sorento Capital telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Oktober 2024, berjaya mengumpul dana RM57.4 juta daripada tawaran awam permulaannya. - DagangNews.com

standard