Wawasan Dengkil catat keuntungan bersih RM10.5 juta dalam FY25 disokong projek pembinaan yang kukuh

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2025 • 6:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Wawasan Dengkil catat keuntungan bersih RM10.5 juta dalam FY25 disokong projek pembinaan yang kukuh

image is not available

26/08/2025 - 18:13

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos Wawasan Dengkil Holdings Berhad mencatat keuntungan bersih RM10.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), didorong oleh aktiviti pembinaan yang kukuh dan rangkaian projek sedia ada yang luas.

Sepanjang FY25, Kumpulan merekodkan pendapatan RM180.6 juta, sedikit menurun berbanding RM188.5 juta pada FY24, susulan sumbangan rendah daripada segmen bukan teras seperti perdagangan bahan binaan serta penyediaan jentera dan kenderaan komersial untuk disewa.

Pengarah Eksekutif Wawasan Dengkil, Lim Soon Yik berkata, segmen perkhidmatan pembinaan kekal menjadi pemacu utama, menyumbang 90% daripada jumlah pendapatan, manakala baki diperoleh daripada segmen bukan teras.

“Margin keuntungan kasar meningkat kepada 15.1% berbanding 14.1% tahun sebelumnya, disokong oleh pengurangan kos operasi daripada penggunaan kenderaan komersial yang sudah sepenuhnya dimiliki serta penyempurnaan Projek Cybersouth Avaland pada suku semasa.

“Keuntungan selepas cukai (PAT) FY25 dicatatkan sebanyak RM10.5 juta, berbanding RM11.3 juta tahun sebelumnya, berikutan perbelanjaan satu kali penyenaraian IPO berjumlah RM2.1 juta.

“Jika dikecualikan kos penyenaraian, keuntungan selepas cukai yang diselaraskan berjumlah RM12.6 juta, dengan margin PAT mencapai 7%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dari segi perbandingan suku ke suku, 4QFY25 mencatatkan pendapatan meningkat 13.1% kepada RM45.9 juta berbanding RM40.6 juta pada 3QFY25, didorong oleh peningkatan aktiviti pembinaan dalam projek-projek yang sedang dijalankan, termasuk Projek Sungai Long dan Projek Central Spine Road.

Beliau berkata, PAT 4QFY25 turut meningkat 10.4% kepada RM2.3 juta.

“Keputusan FY25 menunjukkan asas kewangan yang kukuh dengan sokongan rangkaian projek bernilai RM361.2 juta yang belum ditagih.

“Kumpulan kini menguruskan 13 projek aktif dan dijangka terus sibuk untuk dua hingga tiga tahun kewangan akan datang.

“Selain itu, Kumpulan menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM44.8 juta daripada PG LinkaranFibre Sdn Bhd pada 2 Julai 2025 untuk projek infrastruktur gentian optik di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia, manakala LOA bernilai RM9.0 juta diterima daripada TG Malim Hi-Tech Park Sdn Bhd pada 1 Julai 2025 bagi kerja pembersihan tapak dan kerja tanah di Behrang Ulu seluas 103.71 ekar,” katanya.

Momentum pembinaan di sektor awam dan swasta kekal kukuh, dengan nilai kerja sektor kerajaan RM9.1 bilion dan sektor swasta RM28.2 bilion bagi suku kedua 2025, paras tertinggi dalam dekad lalu.

Buku tender Kumpulan setakat 30 Jun 2025 berjumlah RM1.6 bilion, termasuk projek pembinaan hartanah, lebuh raya, pengangkutan bandar dan infrastruktur ladang solar.- DagangNews.com

standard