PELABUHAN KLANG - Taktik sorok alat permainan seks bernilai lebih RM50,000 dengan mencampurkan pelbagai barangan sah untuk diseludup masuk dari luar negara menggunakan sebuah kontena dibongkar.
Kegiatan itu dikesan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor di Zon Pelabuhan Bebas Pelabuhan Utara di sini 26 Mei lalu.
Pengarah Kastam Selangor, Noraidah Ishak berkata, pemeriksaan dalam kontena terbabit menemui 1,240 unit alat permainan seks bernilai RM52,500.
"Barangan ini diklasifikasikan sebagai barang larangan mutlak dan disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
"Siasatan awal mendapati kontena terbabit tiba di Pelabuhan Klang pada 21 Mei dari China," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Kastam Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, JKDM percaya alatan tersebut untuk pasaran tempatan dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu terlibat dalam kes ini.
**media[3614752]**
Tambahnya, modus operandi dikesan ialah membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam 1 dengan mengikrar dagangan sebagai kerusi, beg pinggang serta pakaian dalam.
Dalam kes berasingan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor merampas 48.78 juta barang rokok putih bernilai RM37.56 juta termasuk duti dan cukai di sini pada 3 hingga 10 Jun lalu.
Noraidah berkata, kesemua kontena itu berstatus 'transhipment' dan tiada pengikraran dalam manifes.
"Rokok tersebut dipercayai datang daei sebuah negara di Asia, namun tidak membuat ikrar manifes sehingga tarikh pemeriksaan dilaksanakan," ujarnya.
Katanya lagi, orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
"JKDM memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.






