Sorok Janin Dalam Kereta, Pasangan Kekasih Mengaku Salah

Local
8 May 2026 • 8:44 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Sorok Janin Dalam Kereta, Pasangan Kekasih Mengaku Salah

KUALA LUMPUR - Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi serta mengambil ubat bagi menghalang bayi itu dilahirkan hidup, bulan lalu.

Tertuduh, Adam Harith Ahmad, 18, bersama teman wanitanya berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Uthman Abd Ghani, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan terhadap Adam Harith, dia didakwa menyembunyikan kelahiran secara sulit dengan membungkus bayi yang meninggal dunia ketika dilahirkan, sebelum meletakkannya di dalam bonet sebuah kereta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin kira-kira jam 11.40 malam, 25 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mohd Farid Abdul Aziz memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih muda, selain ibunya merupakan pesara dan ibu tunggal yang turut menanggung nenek tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, teman wanita tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil ubat Misoprostol dengan niat menghalang bayi itu dilahirkan hidup.

Kesalahan terbabit didakwa dilakukan di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, Melaka Tengah kira-kira jam 10 pagi 25 April lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan remaja perempuan itu diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 9 Julai depan untuk mendapatkan laporan akhlak JKM.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja lelaki dipercayai menyembunyikan janin yang dilahirkan teman wanitanya di dalam kereta.

Getaran difahamkan, tertuduh merancang untuk menanam janin berkenaan di belakang rumah, sebelum kegiatan itu terbongkar selepas dia ditahan polis bulan lalu. – Getaran, 8 Mei 2026

View Original Article