MELAKA – Sepasang kekasih remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat atas pertuduhan berasingan menyembunyikan kelahiran serta mengambil ubat menggugurkan kandungan bulan lalu.
Tertuduh, Adam Harith Ahmad, 18, dan kekasihnya berusia 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Uthman Abd Ghani selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, Adam Harith didakwa menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membungkus mayat seorang bayi yang dilahirkan remaja perempuan itu yang meninggal dunia semasa dilahirkan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar jam 11.40 malam, 25 April lalu di dalam bonet belakang sebuah kereta di Kampung Batu Gajah, Merlimau, dalam daerah Jasin.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan RM15,000 namun peguam Mohd Farid Abdul Aziz mewakili tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh masih muda selain ibunya merupakan pesara dan ibu tunggal yang turut menjaga neneknya.
Sementara itu, kekasihnya turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani atas pertuduhan mengambil ubat Misoprostol dengan niat menghalang bayi dilahirkan hidup.
Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jam 10 pagi, 25 April lalu di sebuah rumah di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Remaja perempuan itu yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan atas alasan masih juvana.
Mahkamah kemudian membenarkan Adam Harith diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes serta laporan sosial.
Sementara remaja perempuan itu dibenar diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 9 Julai depan bagi mendapatkan laporan akhlak.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kekasih itu dicekup polis selepas terlibat dalam kes menggugurkan kandungan dan menyembunyikan kelahiran.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perbuatan itu terbongkar selepas remaja perempuan itu datang ke hospital dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai mengalami keguguran ketika kandungan berusia 22 minggu pada 25 April lalu.
Rentetan daripada itu, teman lelakinya telah ditahan sekitar jam 11.40 malam pada hari sama oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka disusuli remaja perempuan itu Selasa lalu selepas dia keluar hospital.
