SoyaCincau Awards 2024: Telefon Pintar Terbaik Tahun Ini

TechnologyDigital
20 Dec 2024 • 8:31 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Sepanjang tahun ini, kita dapat saksikan banyak telefon pintar baharu yang memasuki pasaran Malaysia. Ada daripadanya yang bagus, menawarkan nilai yang berbaloi, manakala ada juga yang tidak. Untuk menentukan telefon pintar terbaik yang dilancar tahun ini, kami mengadakan SoyaCincau Awards 2024.

Kategori telefon pintar terbaik tahun ini terbahagi dalam empat subkategori iaitu:

  • Telefon paling berbaloi tahun ini
  • Telefon gaming terbaik tahun ini
  • Telefon lipat terbaik tahun ini
  • Telefon terbaik tahun ini

Untuk memilih pemenang, kami perlu tetapkan beberapa parameter untuk kecilkan jumlah calon. Oleh itu, hanya model yang dilancarkan di antara 20 November 2023 hingga 1 November 2024 yang akan dipertimbangkan. Telefon yang dicalonkan juga mestilah masih dijual dan boleh dibeli di Malaysia, jadi kami tak akan memilih model-model edisi terhad.

Senarai kategori SoyaCincau Awards 2024

Anda juga boleh semak pemenang-pemenang dalam kategori lain.

  • Telco terbaik 2024
  • EV terbaik 2024
  • Terbaik & terburuk dunia tech 2024
  • Tablet terbaik 2024
  • Gajet terbaik 2024

Telefon paling berbaloi tahun ini

Gangsa – Infinix GT 20 Pro

Ada banyak sebab kenapa Infinix GT 20 Pro adalah pemenang gangsa bagi telefon pintar paling berbaloi. Ia bukan sahaja memiliki prestasi tinggi diperkasa MediaTek Dimensity 8200 Ultimate, tetapi juga ada estetik menarik dengan lampu LED di panel belakang, didatangkan dengan RAM besar 12GB, skrin pantas 144Hz, lantas menjadikannya antara telefon berbaloi memandangkan harganya cuma RM1,299.

Tambah baik, diiklankan sebagai telefon gaming, GT 20 Pro ini turut ada pelbagai ciri yang dapat mempertingkatkan pengalaman gaming macam Bypass Charging dan Magic Button, iaitu fungsi yang boleh menjadikan butang 'volume' sebagai butang tambahan semasa gaming. Malah, ia juga ada NFC dan speaker stereo.

Namun, disebabkan fokus telefon ini pada prestasi dan gaming, ia agak ketinggalan daripada segi aspek lain contohnya sistem pengimejan tanpa kamera ultralebar dan OS yang mungkin ramai tak gemarkan. Malah, rekaannya juga mungkin nampak terlalu menyerlah bagi sesetengah pihak.

Anda boleh dapatkan Infinix GT 20 Pro di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Infinix GT 20 Pro.

Perak – CMF Phone 1

Mungkin agak mengejutkan kami letakkan CMF Phone 1 sebagai naik juara dalam kategori ini. Tetapi pada pandangan kami, ia menawarkan pengalaman penggunaan yang sangat baik dan lancar walaupun memiliki spesifikasi yang hanyalah berkelas pertengahan. Pada harga RM1,099, ia dilihat sebagai telefon dengan nilai yang sangat berbaloi.

Ini kerana, sistem operasi Nothing OS yang CMF Phone 1 guna adalah antara yang terlancar di telefon Android, sistem operasi yang sama terdapat di telefon lebih premium Nothing Phone 2. Malahan, sistem operasinya juga bebas bloatware dan ada rekaan UI bersih, sesuatu yang jarang ada di telefon Android lain.

Salah satu keunikannya lagi adalah rekaan modular unik dengan panel belakang yang boleh ditukar ganti. Walaupun menggunakan cip berkelas pertengahan Dimensity 7300, prestasinya masih baik, ada sokongan 5G dan ia ada slot kad mikroSD untuk perluasan storan. Skrinnya juga jenis AMOLED sokong kadar penyegaran 120Hz. 

Tetapi, disebabkan ia ada banyak kekurangan macam tiada NFC, speaker stereo dan kamera yang kurang bagus, ini menempatkannya di tempat kedua.

Anda boleh dapatkan CMF Phone 1 di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk CMF Phone 1.

Emas – Xiaomi 14T

Sukar untuk kalahkan penawaran siri Xiaomi 14T jika melihat daripada segi nilai yang ditawarkan. Ia menyediakan gabungan spesifikasi yang seimbang merentasi banyak aspek termasuk prestasi, kamera, pengecasan dan skrin pada harga sangat berpatutan. Ditawarkan bermula RM1,899, kami boleh kata yang ia berbaloi dengan setiap sen yang anda belanjakan, tidak kira mana model dalam siri ini.

Sistem kamera siri Xiaomi 14T yang ditala Leica terbukti mampu berikan imej berkualiti tinggi pada pelbagai jarak fokal, serta untuk persekitaran dengan pencahayaan malap. Prestasinya juga antara tertinggi diperkasa sama ada cip MediaTek Dimensity 8300 atau Dimensity 9300+, membolehkan pengguna peroleh prestasi berkelas flagship pada harga bawah RM3,000.

Tambah baik, ia juga dilengkapi skrin pantas 144Hz dan sokong pengecasan pantas, dengan model Pro ada kuasa mengecas 120W dan wayarles pada 50W. Malah, ia juga diiktiraf kalis air IP68. Maka dengan itu, seolah tiada perkara yang dikorbankan untuk capai tanda harganya yang mampu milik, sekali gus menjadikannya juara dalam kategori ini.

Anda boleh dapatkan Xiaomi 14T di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Xiaomi 14T.

Telefon gaming tahun ini

Gangsa – Samsung Galaxy S24 Ultra

Untuk lihat Samsung Galaxy s24 Ultra dalam kategori telefon gaming tahun ini mungkin agak pelik, apatah lagi meraih tempat gangsa. Namun, ia sememangnya menawarkan ciri yang dapat tambah baik pengalaman gaming anda.

Walaupun tidak mempunyai butang bahu macam telefon gaming lain, Galaxy S24 ada didatangkan dengan Bypass Charging bolehkan anda untuk gaming dalam tempoh lama tanpa menjejaskan kesihatan bateri. Tambahan pula, ia turut ada Samsung DeX apabila digunakan dengan paparan kedua, bolehkan anda nikmati gaming pada skrin lagi besar.

Oleh itu, Galaxy S24 Ultra ini adalah pilihan yang sempurna untuk anda yang mahukan telefon untuk gaming tanpa estetik yang terlalu menyerlah. Cuma sistem penyejukannya tidaklah sebaik telefon gaming pemenang perak dan emas dalam kategori ini.

Anda boleh dapatkan Galaxy S24 Ultra di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Galaxy S24 Ultra.

Perak – ASUS ROG Phone 8 Pro

ROG Phone 8 Pro bersaing rapat dengan Redmagic 9S Pro untuk telefon gaming tahun 2024. Namun, disebabkan pemenang Emas ada Console Mode dan sistem penyejukkan aktif yang pertingkatkan keversatilannya, kami letakkan ROG Phone 8 Pro di Perak. Ia bukanlah telefon gaming yang rendah spesifikasi.

ROG Phone 8 Pro masing mengguna pakai cip Snapdragon 8 Gen 3 malah, skrinnya adalah yang terbaik dalam kalangan tiga pesaing ini iaitu AMOLED pada kadar segar semula 165Hz dengan kecerahan puncak 2,500nits.

ROG Phone 8 Pro pun ada sistem penyejukkan aktif, tapi apabila dipadankan dengan aksesori AeroActive Cooler X. Satu keunikan ROG Phone 8 Pro adalah ciri AniMe Vision iaitu 341 LED di panel belakang yang boleh diprogramkan.

ROG Phone 8 Pro ada RAM sehingga 24GB dan yang terbesar penawarannya dalam senarai ini tapi harganya hampir RM6,000.

Anda boleh dapatkan ASUS ROG Phone 8 Pro di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk ASUS ROG Phone 8 Pro.

Emas – RedMagic 9S Pro

Pertama sekali, ia diperkasa Snapdragon 8 Gen 3 Leading Edition. Clockspeed-nya lebih tinggi berbanding cip biasa. Ia mungkin hasil manfaat sistem ICE 13.5 Magic Cooling yang salah satu komponennya adalah kipas sebenar yang berpusing sehingga 22 ribu RPM.

Kemudian, ia ada Komponen-komponen mengkhususkan gaming seperti butang bahu jenis kapasitif, bateri gergasi 6,500mAh dengan pengecasan 80W, jek audio 3.5mm, dan port USB-C dengan displayport.

Akhir sekali yang memuktamadkan kedudukannya sebagai telefon gaming 2024 ialah Console Mode. Ia seperti Samsung DeX, tapi khas untuk gaming. Anda sambungkan telefon ke monitor melalui USB-C, anda boleh main game di skrin yang lebih besar. Tidak, ia bukan skrin mirror.

Anda boleh dapatkan RedMagic 9S Pro di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk RedMagic 9S Pro.

Telefon lipat tahun ini

Gangsa – Xiaomi Mix Flip

Pasti sukar untuk anda percaya yang telefon lipat pertama Xiaomi Mix Flip memenangi tempat dalam kategori ini berbanding Galaxy Z Flip 6. Tetapi, kami pilih Xiaomi Mix Flip kerana kunikan skrin luarannya yang tidak pernah dilihat di mana-mana telefon lipat sebelum ini.

Tidak dinafikan yang Galaxy Z Fip ada perisian yang lebih baik. Namun, skrin luaran Xiaomi dapat tawarkan pengalaman penggunaan lebih seronok dan unik, memandangkan skrinnya besar, boleh paparkan aplikasi secara menegak seperti skrin di dalam serta ada bezel nipis, tidak seperti Galaxy Z Flip 6.

Tambah baik, engsel pada Xiaomi Mix Flip juga terasa premium bolehkan lipatan telefon dibuka dengan lancar dan sistem operasi HyperOS yang digunakan juga berjalan dengan baik. Prestasinya juga tinggi dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3. Oleh yang demikian, kami letakkannya sebagai pemenang gangsa.

Anda boleh dapatkan RedMagic 9S Pro di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Xiaomi MIX Flip.

Perak – Honor Magic V3

Kami rasakan Honor Magic V3 mengekalkan banyak aspek yang ada pada telefon biasa walaupun ia adalah telefon lipat. Ini kerana ia memiliki skrin luaran yang bersaiz biasa, sistem kamera baik dan bateri besar yang boleh bertahan sehari penuh tanpa masalah. Gabungkan dengan faktor badannya yang boleh dilipat, ini menjadikan Magic V3 mempunyai perkakasan yang mengagumkan.

Tetapi apa yang lebih mengagumkan adalah betapa nipis dan ringannya badan telefon lipat ini. Telefon ini rasa ringan dan selesa semasa dalam tangan tidak kira dalam keadaan skrin dilipat atau ditutup, malah nak simpan dalam poket pun tak terasa tebal. Tambahan pula, skrinnya juga boleh dibuka dengan mudah dan tak ada kesan lipatan yang ketara.

Walau bagaimanapun, meletakkannya di tempat perak berbanding emas adalah disebabkan perisiannya yang kurang bagus dan tidak berapa optimum untuk kegunaan telefon lipat. Meskipun begitu, ia masih ada ciri App Extender yang memanfaatkan skrin dalamannya untuk membuka dua tetingkap bagi satu aplikasi. Secara kesimpulannya, boleh dikatakan sistem operasinya kekurangan “Magic”.

Anda boleh dapatkan Honor Magic V3 di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Honor Magic V3.

Emas – Samsung Galaxy Z Fold 6

Semasa Samsung lancarkan telefon Galaxy Z Fold 6, kami sedikit kecewa kerana ia tak membawakan perubahan ketara berbanding generasi sebelumnya. Apa yang Samsung bawakan hanyalah rekaan sedikit baharu dan beberapa ciri Galaxy AI.

Namun begitu, kami menganugerahkan Galaxy Z Fold 6 sebagai pemenang emas adalah kerana perisian Samsung yang lebih baik berbanding pesaing lain, menjadikannya lebih mudah dan lancar untuk digunakan. Perisiannya turut dapat menambah baik pengalaman mengguna dengan adanya fungsi seperti Samsung DeX, Samsung Wallet dan terima 7 tahun kemas kini OS.

Walaupun apa yang Samsung lakukan dengan Galaxy Z Flip 6 tidaklah seinovatif seperti Honor Magic V3 yang menampilkan rekaan sangat nipis, tetapi pada kami, perisian memainkan peranan lebih penting. Oleh yang demikian, Galaxy Z Fold 6 adalah pilihan terbaik untuk anda yang mahukan telefon lipat dengan pengalaman penggunan baik, selain memiliki prestasi tinggi.

Anda boleh dapatkan Samsung Galaxy Z Fold 6 di Lazada dan Shopee. Ketahui lebih lanjut di laman produk Samsung Galaxy Z Fold 6.

Telefon terbaik tahun ini

Gangsa – Xiaomi 14 Ultra

Ada banyak kamera telefon pintar yang kami cuba tahun ini dan Xiaomi 14 Ultra adalah antara telefon pintar yang kami kagum dengan keupayaan kameranya. Itu bukanlah bermaksud yang sistem kameranya sempurna, kerana masih terdapat kekangan padanya memandangkan ia masih lagi sebuah telefon pintar. Tetapi, disebabkan hasil daripada kameranya sangat memuaskan membuatkan telefon ini istimewa.

Bukan sahaja Xiaomi 14 Ultra ini boleh kendalikan warna, kontras, HDR dan bayang-bayang dengan sangat baik, tetapi juga berikan imej dengan karakter tersendiri. Sistem pengimejannya turut mendapat talaan daripada Leica, dengan beresolusi tinggi, tampil dengan empat kamera 50MP di belakang.