SP Setia dalam rundingan jual 388 hektar tanah di Johor bagi kurangkan hutang - Maybank IB

Business & FinanceProperty
22 Mar 2024 • 11:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SP Setia dalam rundingan jual 388 hektar tanah di Johor bagi kurangkan hutang - Maybank IB

herman

22/03/2024 - 11:18

KUALA LUMPUR 22 Mac - Penjualan tanah oleh SP Setia Berhad bukan sahaja bagi mengurangkan tahap hutang dan kos kewangan tetapi juga membolehkan syarikat itu meneroka peluang lain dalam bank tanah.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, SP Setia kini dalam peringkat awal rundingan untuk menjual tanah seluas 960 ekar (388.5 hektar) di Johor dan perjanjian dijangka dimeterai pada suku kedua 2024.

Katanya, harga jualan berkemungkinan melebihi harga pembelian yang dicadangkan sebelum ini iaitu RM13 setiap kaki persegi oleh Scientex memandangkan peningkatan permintaan untuk hartanah Johor.

"Analisis senario kami tentang kesan potensi penjualan tanah di Johor di bawah andaian harga jualan yang berbeza mampu menghasilkan keuntungan bersih jualan tanah sebanyak RM352 juta - RM479 juta.

"Kami meningkatkan unjuran pendapatan SP Setia bagi FY24/25/26 sebanyak 55.4%/ 19.2%/1.4% untuk mengambil kira dalam penjualan tanah Johor dengan andaian harga jualan RM14 sekaki persegi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Nota kajian itu susulan pertemuan penganalisis firma itu dengan pengurusan SP Setia.

Kata Maybank IB, SP Setia juga sedang berunding dengan rakan kongsi berpotensi untuk tanah komersial seluas 16 ekar di Setia Alam dan tanah perindustrian seluas 307 ekar di Tanjung Kupang.

Selain itu, kata firma penyelidikan tersebut, SP Setia sedang meneroka potensi hartanah pelaburannya melalui Amanah Pelaburan Hartanah (REIT).

"Ia boleh terus memiliki aset ini dengan mengambil kepentingan dalam REIT dan akan menikmati pendapatan dividen.

"REIT juga boleh berfungsi sebagai kenderaan untuk suntikan aset matang SP Setia pada masa hadapan, membolehkan kitar semula modal. Aset yang masuk ke dalam REIT boleh terdiri daripada pusat beli-belah, hotel, sekolah serta pusat konvensyen," jelasnya.

Maybank IB menggariskan beberapa pemangkin kepada SP Setia termasuk penjualan tanah dalam FY24, pelaburan hartanah REIT bagi FY25-26 dan potensi semakan ke atas dalam harga pusat beli-belah BPS (Battersea Power Station).

Firma penyelidikan itu juga membuat saranan Beli dengan harga sasaran RM1.66 (+38sen) untuk tempoh 12 bulan lagi.- DagangNews.com