SP Setia perkenal kediaman Setia i-home yang dilengkapi ciri pintar
zulfadli
06/07/2023 - 10:12
KUALA LUMPUR 6 Julai - S P Setia melancarkan Setia i-Home, inisiatif hijau baharunya untuk melaksanakan ciri mampan untuk pembangunan kediaman mereka pada masa hadapan.
Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Tan Hon Lim berkata, Setia i-Home adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk mempercepatkan usahanya dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan mencapai sifar bersih menjelang 2050.
"Memandangkan kehidupan lestari menjadi lebih kritikal, ia penting bagi kami untuk menerima teknologi baharu yang membantu kami meminimumkan kesan terhadap persekitaran.
"Setia i-Home adalah respons kami terhadap keperluan mendesak ini. Ia juga sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadi peneraju dalam mewujudkan komuniti mampan dan memperkaya gaya hidup," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Tan, pihaknya berbesar hati memperkenalkan inisiatif Setia i-Home yang akan menampilkan ciri unik gabungan kemampanan dan inovasi.
"Setiap ciri telah direka untuk membantu visi kami untuk menjadi pelopor dalam mewujudkan komuniti mampan yang meningkatkan gaya hidup. Kami berharap dapat memberi inspirasi kepada negara dalam melaksanakan inisiatif kelestarian yang akan datang," katanya.
Setia i-Home yang dilengkapi dengan ciri pintar menyediakan kawalan pelbagai suis dan palam kuasa melalui aplikasi mudah alih sekali gus membolehkan pemilik rumah mengoptimumkan penggunaan tenaga.

Di samping itu, kediaman juga akan dilengkapi dengan panel solar untuk mengurangkan penggunaan tenaga daripada grid dan jejak karbon penduduk.
Selain itu, suis hijau membolehkan penduduk mematikan semua kuasa peralatan dengan satu sentuhan apabila keluar dari rumah, seterusnya mengurangkan penggunaan tenaga.
Ia juga akan dilengkapi dengan sistem pengecasan kenderaan elektrik (EV) untuk penduduk memasang penyambung pengecasan EV bagi membekalkan kuasa bekalan kepada kenderaan mereka.

Dengan memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui, Setia i-Home akan menyertakan sistem penuaian air hujan untuk mengumpul air hujan untuk kegunaan dalaman.
Selain itu, ia turut dilengkapi 'Box 366' yang memudahkan urusan penghantaran makanan dan bungkusan di rumah penduduk.
Hartanah tersebut juga menggunakan sebuah Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk mengurangkan sisa pembinaan, dengan tujuan mencapai 50% skor IBS. - DagangNews.com


