PUTRAJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) disaran mempertimbangkan penambahan kuota pengambilan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam bagi memperluas peluang mereka menyumbang kepada pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu wajar memandangkan semakin ramai anak Orang Asli memiliki kelayakan akademik dan profesional untuk berkhidmat dalam pelbagai badan kerajaan.
"Saya telah meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mempertimbangkan penambahan kuota pengambilan Orang Asli dalam perkhidmatan awam.
"Sudah tiba masanya kita buka peluang yang lebih luas untuk mereka berkhidmat dalam badan kerajaan. Bagi yang sudah berkhidmat, saya mahu kementerian, jabatan, agensi, GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan).. berilah mereka peluang untuk mengetuai pasukan dan terlibat dalam penggubalan dasar, ertinya kenaikan pangkat," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Penjawat Awam Orang Asli (HPPAOA) 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor.
HPPAOA 2026 yang julung kali dianjurkan di peringkat kebangsaan melakar sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perhimpunan terbesar Penjawat Awam Orang Asli di negara ini.
Perhimpunan itu menghimpunkan 3,000 penjawat awam Orang Asli daripada pelbagai skim, gred dan perkhidmatan di peringkat Persekutuan serta negeri.
Beliau berkata perkara berkenaan akan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang baharu bagi memperjuangkan nasib penjawat awam Orang Asli di seluruh negara.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata sekurang-kurangnya 500 anak Orang Asli disasarkan mengikuti latihan di institusi TVET tahun depan.
Beliau berkata, setakat September lepas, sebanyak 135 anak Orang Asli sedang mengikuti latihan kemahiran di Pusat Latihan Paya Bungor, Pahang.
Katanya, sudah tiba masanya graduan TVET menikmati gaji premium pada kadar RM3,000 sebulan setimpal dengan kemahiran dimiliki.
"Saya telah mengadakan perundingan dengan semua pemain industri, pemilik syarikat, kita tidak mahu lulusan TVET ini gaji RM2,000. Mereka telah bersetuju dan mereka telah melaksanakan gaji premium untuk lulusan TVET ini RM3,000 sebulan," katanya.
Justeru, beliau berkata latihan kemahiran perlu disusun bersama industri supaya kemahiran yang dipelajari bersesuaian dengan keperluan pekerjaan, sekali gus memastikan graduan mempunyai laluan kerjaya yang jelas selepas tamat latihan.
Ahmad Zahid berkata GLC, GLIC dan sektor swasta juga perlu terlibat lebih awal bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan TVET Orang Asli selepas tamat latihan.
Mengenai kemudahan digital, Ahmad Zahid berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bagi memperluas liputan 4G ke semua perkampungan Orang Asli menjelang 2028 menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Beliau berkata kemudahan itu penting bagi membolehkan anak-anak Orang Asli mengikuti pembelajaran, keluarga mengurus urusan harian dan usahawan memasarkan produk mereka.
"Jangan pernah ketepikan kampung-kampung Orang Asli dari segi kemudahan Internet. Saya mahu ia diliputi sepenuhnya program JENDELA di bawah Kementerian Komunikasi," katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2027 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menerusi pelaburan RM5 bilion memperkukuh ketersambungan Internet di seluruh negara menerusi projek JENDELA 2, termasuk memperluas liputan 4G ke semua kampung Orang Asli tahun depan. - Bernama






