MIC perlu menang sekurang-kurangnya lima kerusi pada PRU-16

LocalPolitics
28 Nov 2026 • 4:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MIC perlu menang sekurang-kurangnya lima kerusi pada PRU-16

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletakkan sasaran buat MIC untuk memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama antara jentera parti komponen BN yang membolehkan MIC memenangi empat kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan satu kerusi di PRN Melaka perlu diteruskan.

“Saya mengharapkan sebagaimana dulu MIC pernah ada lima kerusi, dalam PRU ke-16 saya mengharapkan sekurang-kurangnya lima kerusi mesti dimenangi oleh MIC,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.

Pada PRU-15, MIC bertanding di 10 kerusi Parlimen dan hanya menang di Tapah, Perak menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan yang mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,064 undi.

Dalam ucapan sama, Ahmad Zahid mengakui jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada MIC sebelum ini belum memenuhi hasrat parti itu, namun jentera parti tersebut bersungguh-sungguh untuk setiap calon yang diletakkan parti itu.

Beliau yang juga Presiden UMNO memberi bayangan Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran bertanding di Johor pada PRU-16 akan datang setelah meminta Vigneswaran supaya berbaik-baik dengan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau turut menyebut kawasan yang disifatkannya selamat tanpa menamakan kerusi berkenaan.

“Tan Sri Vicky, baik-baiklah dengan Menteri Besar Johor. Saya tahu kawasan itu selamat. Dan kalau kawasan itu selamat, Tan Sri Vicky akan juga selamat,” katanya.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid  yang ditanya sama ada Vigneswaran akan bertanding di kerusi Parlimen Segamat pada PRU16 hanya menjawab “apabila tiba masanya saya akan tandatangani watikah,” katanya.

Terdahulu, Vigneswaran ketika berucap menegaskan enggan menjadi penumpang dalam BN sebaliknya mahu menjadi rakan yang aktif, dihormati dan mempunyai sumbangan yang nyata. 

“Menjelang pilihan raya akan datang, kita memerlukan peranan yang lebih jelas dalam pentadbiran negeri, kepastian pembahagian kerusi lebih awal dan kerjasama yang menyeluruh antara semua parti komponen BN. 

“Kepada seluruh ahli MIC, persediaan mesti bermula sekarang, jangan tunggu sehingga Parlimen dibubarkan. Kenali kawasan, kenali pengundi, fahami masalah setempat dan bina hubungan yang ikhlas. Jangan sesekali menganggap teknologi boleh menggantikan sentuhan manusia,” ujarnya. – UTUSAN

The post MIC perlu menang sekurang-kurangnya lima kerusi pada PRU-16 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved