
HOUSTON: SpaceX milik hartawan, Elon Musk dijadualkan menjalankan ujian terbaharu roket terbesar dan paling berkuasa di dunia, Starship pada Jumaat dengan percubaan bersejarah menangkap semula kapal angkasa itu selepas mengorbit bumi selama sehari.
Kejayaan menangkap bahagian atas Starship akan menjadi pencapaian penting dalam usaha industri angkasa lepas selama beberapa dekad untuk menghasilkan kapal angkasa yang boleh digunakan semula sepenuhnya, sekali gus mengurangkan kos misi dan membolehkan perjalanan ke angkasa lepas dilakukan dengan lebih kerap.
“Jika berjaya, ini akan menjadi pemulihan penuh pertama bagi sistem pelancaran orbit dan pencapaian besar dalam usaha menjadikan Starship roket yang boleh digunakan semula dengan pantas serta boleh dipercayai,” menurut SpaceX.
Bagi penerbangan ujian Starship ke-15 pada Jumaat, SpaceX menyasarkan untuk mendapatkan semula kedua-dua peringkat kenderaan pelancaran gergasi setinggi 124 meter itu.
Syarikat berkenaan sebelum ini berjaya menangkap penggalak roket yang dikenali sebagai Super Heavy sebanyak tiga kali.
Peringkat pertama itu turun secara menegak ke tapak pelancaran sejurus selepas berlepas sebelum ditangkap menggunakan sepasang lengan mekanikal yang digelar penyepit.
Kali ini, SpaceX akan cuba melakukan perkara sama terhadap kapal angkasa berkenaan.
Beberapa versi kapal itu direka untuk membawa satelit internet dan pusat data ke orbit, manakala versi lain akan digunakan untuk membawa manusia ke bulan dan Marikh.
Pakar aeroangkasa di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Clayton Swope menyifatkan kapal angkasa yang boleh digunakan semula sepenuhnya sebagai matlamat utama industri angkasa lepas.
“Setakat ini, belum ada pihak yang benar-benar berjaya melakukannya. Usaha ke arah itu sudah dijalankan sejak era kapal angkasa ulang-alik NASA. Namun, program itu akhirnya terpaksa berkompromi kerana sebahagian besar kenderaannya tidak boleh digunakan semula,” katanya.
Penggunaan semula Starship memerlukan kapal itu mampu menahan suhu panas melampau ketika memasuki semula atmosfera bumi sebelum kembali beroperasi tanpa memerlukan kerja baik pulih yang menyeluruh.
Pelancaran pada Jumaat dijadualkan berlangsung di tapak pelancaran SpaceX, Starbase, di selatan Texas pada 4.45 petang (waktu tempatan).
Selepas berlepas dan kedua-dua peringkat roket berpisah di udara, SpaceX merancang membawa Super Heavy kembali ke bumi kira-kira enam minit 30 saat kemudian untuk ditangkap di tapak pelancaran di pesisir Teluk Mexico.
Kapal angkasa itu pula akan meneruskan perjalanan ke orbit bumi sebelum melepaskan 26 satelit ke dalam rangkaian internet satelit Starlink milik Musk yang menjadi antara sumber pendapatan utama SpaceX.
Selepas itu, Starship dijadualkan mengelilingi bumi sebanyak 14 kali sebelum kembali kira-kira 22 jam kemudian dan turun dengan selamat ke dalam lengan mekanikal berkenaan.
Percubaan menangkap kapal angkasa itu lebih rumit berbanding penggalak roket kerana ia akan turun pada kelajuan jauh lebih pantas dari altitud yang lebih tinggi.
SpaceX berkata, pihaknya hanya akan meneruskan percubaan itu sekiranya keadaan berada pada tahap optimum.
Sebelum ini, syarikat berkenaan beberapa kali membuat perubahan pada saat akhir terhadap penerbangan ujian menerusi strategi gagal dengan cepat Musk, yang mengutamakan pembelajaran melalui kegagalan termasuk nahas, letupan dan pelbagai insiden lain.-AFP
The post SpaceX cuba ‘tangkap’ kapal angkasa Starship buat kali pertama appeared first on Utusan Malaysia.



