Speedy Tigers belum ketandusan pakar ‘flick’

14 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Speedy Tigers belum ketandusan pakar ‘flick’

KEHILANGAN pakar pukulan sudut penalti (PC), Syed Syafiq Syed Cholan akibat kecederaan tidak harus menumpulkan senjata Speedy Tigers pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila skuad negara memiliki beberapa pemain yang mampu mengambil alih peranan tersebut.

Syed Syafiq terpaksa diketepikan selepas mengalami keretakan halus pada kaki kanan akibat terkena bola ketika aksi pertama menentang Jerman pada Piala Dunia lalu, sekali gus memberi tamparan kepada persiapan skuad negara yang menyasarkan kemaraan ke final di Aichi-Nagoya.

Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Brendon Carolan tidak terlalu bimbang dengan ketiadaan pemain berpengalaman itu apabila Azimuddin Syakir Kamaruddin, Faizal Saari, Akhimullah Anuar Esook dan Azrai Aizad Abu Kamal mampu menjadi pilihan untuk melakukan pukulan ‘flick’ ketika PC.

“Kami ada Azim, Faizal, Black (Akhimullah) dan Boy (Azrai) yang sudah mula menjalani latihan pukulan flick. Jadi, kami mempunyai empat pemain yang bagus dan boleh mengambil peranan itu dengan selesa.

“Azim berada dalam pasukan kerana dia adalah flicker nombor satu kami ketika ini. Dia masih muda, tetapi sudah lama bersama pasukan, manakala Faizal juga semakin baik dan Boy sudah mula bekerja dalam aspek serangan sudut penalti,” katanya pada sidang media persiapan pasukan hoki ke Sukan Asia di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Carolan mengakui kehilangan Syed Syafiq tetap dirasai, namun percaya ketajaman skuad terutama dengan kehadiran beberapa pemain muda yang mampu melakukan flick dapat menampung kekosongan tersebut.

Malaysia yang memburu peluang menamatkan kemarau penampilan di Sukan Olimpik diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China, Thailand, Uzbekistan dan Oman dengan sasaran mara ke final, manakala pemenang pingat emas di Aichi-Nagoya akan memperoleh tiket merit ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

The post Speedy Tigers belum ketandusan pakar ‘flick’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved