Spesifikasi Kapal Kargo Angkasa Lepas Haolong Oleh China Kini Diketahui

TechnologyDigital
13 Nov 2024 • 10:26 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

China memulakan projek membina kapal kargo angkasa lepas yang akan membawa kargo bagi keperluan stesen angkasa Tiangong mereka. Antara projek yang dipilih ialah Haolong oleh AVIC. Di Pertunjukan Udara Antarabangsa Zhuhai minggu ini, AVIC berkongsi beberapa spesifikasi mengenai kapal kargo rekaan mereka.

image is not available

Seperti dijangka Haolong beroperasi tanpa juruterbang. Ia sepanjang 10 meter dengan lebar pula 8 meter. Bahagian kargo kapal angkasa boleh menempatkan sehingga 1.8 tan kargo. Ia akan dilancarkan menggunakan roket sebelum meneruskan perjalanan ke Tiangong. Setibanya ke destinasi, ia akan melabuhkan diri ke dermaga yang terletak di bahagian buritan kapal.

Setakat ini ia tidak dilihat mempunyai kemampuan untuk meletakkan satelit ke orbit seperti Space Shuttle. Dua “pintu” pada bahagian atas sekadar digunakan untuk melindungi panel solar. Panel solar dibuka sepanjang masa ia berlabuh dengan Tiangong.

Menerusi animasi yang dikongsi, angkasawan akan memasuki ruang kargo dan mengeluarkan sendiri keperluan. Usai misi, Haolong akan kembali semula ke bumi seperti sebuah Space Shuttle dengan pendarat beroda dilakukan di atas landasan lapangan terbang.