
Telefon pintar lipat terbaru Samsung dijadualkan dilancarkan pada 22 Julai 2026. Ramai yang menantikan maklumat lanjut mengenainya dan kini WinFuture.de mula mendedahkan gambaran awal tentang Galaxy Z Fold 8 serta Galaxy Z Fold 8 Ultra.

Apa yang didedahkan melalui ura‑ura spesifikasi kali ini ialah Galaxy Z Fold 8 hadir dengan paparan utama berukuran 7.6″ menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 2448 × 1848 piksel yang hampir menyerupai format 4:3. Manakala, paparan luar pula berukuran 5.5″ dengan resolusi 1972 × 1248 piksel. Samsung turut menggunakan lapisan asas skrin lipat berasaskan titanium bagi memastikan kesan lipatan pada skrin kurang kelihatan.
Dari segi kamera, peranti ini dilengkapi dengan dua sensor 50 MP iaitu kamera utama dan ultra lebar, sementara itu kamera swafoto pula beresolusi 10 MP. Bateri berkapasiti 4800 mAh digunakan menyokong pengecasan pantas sehingga 45W dengan ketahanan sehingga 49 jam. Ia juga akan dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama memori sehingga 16 GB RAM serta storan dalaman sehingga 1 TB.
Peranti ini turut ditawarkan dengan berat sekitar 201 gram serta ketebalan hanya 4.5 mm apabila dibuka, manakala harga jualan dijangka bermula pada €1,999 (RM9,334).

Galaxy Z Fold 8 Ultra pula hadir dengan paparan utama berukuran 8 inci menggunakan panel Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi lebih tinggi iaitu 2504 × 2256 piksel, manakala paparan luar berukuran 6.5 inci dengan resolusi 2520 × 1080 piksel. Dari segi kamera, ia dilengkapi dengan kamera utama 200MP, telefoto 10MP serta ultra lebar baharu 50MP.
Selain itu, peranti turut akan disokong bateri berkapasiti lebih besar 5000 mAh dengan pengecasan pantas sehingga 45W yang mampu memberikan ketahanan sehingga 51 jam. Ia juga akan dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama memori sehingga 16 GB RAM dan storan dalaman sehingga 1 TB.

Galaxy Z Fold 8 Ultra akan ditawarkan dalam pilihan warna Graphite, Cream, Violet Shadow dan Green Shadow dengan berat sekitar 218 gram serta ketebalan hanya 4.1 mm apabila dibuka. Peranti ini dijangka akan dipasarkan pada harga bermula sekitar €2,199 (RM10,266).

