
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) yang dicadangkan bakal mengurus pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tindakan tatatertib petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun, kuasa mewujudkan jawatan baharu dan menentukan sistem saraan kekal di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Kementerian Kewangan (MOF).
Menurut beliau, proses penubuhan SPK sedang berjalan dan memerlukan beberapa tindakan, termasuk pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai sebahagian daripada persediaan itu, KKM mengadakan sesi libat urus bersama suruhanjaya perkhidmatan lain dan JPA pada 22 Oktober lepas bagi mendapatkan maklumat mengenai amalan terbaik serta proses penubuhan sesuatu suruhanjaya perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Zaliha meminta komitmen kerajaan supaya draf Rang Undang-Undang (RUU) SPK dibentangkan untuk bacaan kali pertama sebelum akhir 2027, susulan kelulusan 13,343 jawatan baharu KKM yang membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion setahun.
Dzulkefly berkata, penubuhan SPK dicadangkan bagi memperkukuh pengurusan sumber manusia KKM yang merangkumi 86 skim perkhidmatan, termasuk pegawai perubatan, pergigian, farmasi, jururawat dan anggota paramedik.
Sementara itu, beliau berkata, KKM terus melaksanakan penambahbaikan pengurusan sumber manusia sepanjang proses penubuhan suruhanjaya berkenaan.
Antara langkah diambil ialah menubuhkan pasukan petugas khas perjawatan KKM bersama agensi pusat susulan mandat JPA kepada kementerian itu untuk mengurus pengagihan perjawatan.
Selain itu, kadar bayaran Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) turut ditingkatkan pada 2025.- KOSMO! ONLINE
The post SPK urus pelantikan, kenaikan pangkat petugas kesihatan appeared first on Kosmo Online.





