Insentif doktor udara masih tidak cukup – MMA

LocalHealth & Fitness
9 Oct 2026 • 6:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Insentif doktor udara masih tidak cukup – MMA

PETALING JAYA: Kenaikan insentif Perkhidmatan Doktor Udara dalam Belanjawan 2027 masih tidak mencukupi dan belum mencerminkan keadaan tugas mencabar serta risiko keselamatan besar yang dihadapi petugas kesihatan di kawasan terpencil.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Sivanaesan Letchumanan berkata, pihaknya menyambut baik kenaikan itu, namun jumlah yang disemak semula belum mencerminkan realiti semasa perkhidmatan berkenaan.

“Petugas ini wajar menerima imbuhan setimpal dengan cabaran dan risiko yang mereka tanggung.

“Kami menggesa kerajaan menyemak semula insentif tersebut serta mengutamakan pelaburan dalam keselamatan operasi, penyelenggaraan pesawat dan perlindungan petugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Sivanaesan berkata, MMA turut berharap pembiayaan mencukupi disediakan bagi menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan yang kritikal di Sabah dan Sarawak.

Katanya, usaha itu perlu merangkumi insentif, keadaan kerja serta peluang pembangunan kerjaya yang lebih baik.

“MMA juga mengulangi gesaan supaya Bayaran Insentif Wilayah (BIW) dikembalikan kepada kaedah berasaskan peratusan seperti sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun Belanjawan 2027 membawa perkembangan positif, MMA mengharapkan komitmen lebih besar terhadap usaha mengekalkan tenaga kerja kesihatan dan menangani kekurangan pakar yang kritikal.

Katanya, pelantikan tetap merupakan langkah penting, namun perlu disokong strategi menyeluruh bagi mengekalkan tenaga kerja.

“Penamatan sistem doktor kontrak tidak boleh menjadi pengakhiran usaha kita memperkukuh tenaga kerja kesihatan,” katanya.

Sivanaesan turut mengulangi cadangan mewujudkan papan pemuka agihan tenaga kerja kesihatan nasional bagi memberikan ketelusan mengenai tahap tenaga kerja dan kekurangan kakitangan di setiap hospital serta klinik awam.

“Langkah itu membolehkan perancangan tenaga kerja yang lebih baik dan membantu memastikan sumber disalurkan ke tempat yang paling memerlukannya,” katanya. – UTUSAN

The post Insentif doktor udara masih tidak cukup – MMA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved