SPM 2024: 8,076 Calon Tidak Hadir Untuk Semua Kertas

LocalPolitics
13 Feb 2025 • 10:25 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tamat baru-baru ini didapati mencatatkan penemuan mengejutkan. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, 8,076 calon disahkan tidak hadir dalam semua kertas bertulis mereka.

Menurut beliau, data direkodkan kementerian setakat 6 Februari lalu mendapati, 6,231 daripadanya adalah calon daripada sekolah milik kementerian.

“Berdasarkan analisis Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, punca utama calon tidak hadir termasuklah pekerjaan, masalah keluarga, kesihatan, kematian dan berpindah ke luar negara,” katanya.

image is not available
Fadhlina Sidek

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis, sebagai menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat.

Jelas Fadhlina, SPM 2024 menyaksikan pendaftaran 386,739 calon baharu, untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. 

“Daripada jumlah ini, 345,129 daripadanya merupakan calon sekolah kementerian,” katanya.

Beliau menarik perhatian, kementerian dalam usaha menangani isu ketidakhadiran semasa peperiksaan SPM, mengambil pendekatan melakukan beberapa intervensi.

“Ia termasuk memantau kehadiran pelajar setiap hari melalui Sistem Kehadiran Murid (eAttendance) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid.

“Kementerian juga melaksanakan pengesanan awal pelajar berisiko tercicir dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 bagi memastikan mereka menghadiri peperiksaan SPM 2025,” katanya.

Mengulas lanjut Fadhlina berkata, Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM yang dikuatkuasakan ke atas semua peringkat antara lain berupaya memastikan kehadiran calon ketika SPM.

"Pengesanan awal ini membolehkan sekolah merancang intervensi. Program SPM 2025 akan diteruskan dengan fokus kepada pelajar berisiko tercicir bagi meningkatkan prestasi dalam mata pelajaran wajib yang mesti lulus dalam SPM iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah," katanya. - Getaran, 13 Februari 2025