
Bagi yang perasan, Spotify kini bukan sekadar ruang untuk mendengar audio semata-mata, malah telah diberikan fungsi mesej (Messages) bagi tujuan komunikasi. Setelah mendapat sambutan yang menggalakkan, ciri tersebut telah dikemaskini dengan dua ciri baharu iaitu Listening Activity dan Request to Jam.



Listening Activity ialah ciri yang membolehkan pengguna memaparkan muzik yang sedang didengar kepada rakan atau keluarga yang telah dihubungkan melalui Messages. Jika pengguna tidak lagi mendengar, lagu terakhir yang dimainkan akan dipaparkan sebagai gantinya. Aktiviti ini hanya dapat dilihat oleh kenalan yang sudah berhubung dan pengguna sentiasa mempunyai kawalan penuh untuk mengaktifkan atau menutupnya pada bila-bila masa.

Sementara itu, Request to Jam pula memudahkan pengguna mengubah pengalaman mendengar muzik menjadi pengalaman bersama kenalan. Melalui Request to Jam, pengguna Premium boleh menjemput rakan atau kenalan untuk menyertai sesi mendengar secara serentak, menambah lagu ke dalam senarai bersama, serta berinteraksi melalui mesej ketika muzik dimainkan.
Listening Activity boleh digunakan oleh semua pengguna melalui Messages manakala Request to Jam pula boleh disertai oleh pengguna percuma apabila dijemput oleh pengguna Premium. Kedua-dua ciri ini sedang ditawarkan pada versi iOS dan Android secara berperingkat, dan dijangka tersedia sepenuhnya menjelang awal Februari 2026.

