
KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan dan mempamerkan cadangan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak termasuk lokasi kawasan berkenaan mulai esok, 1 pSeptember 2026.
Cadangan penambahan itu bakal menyaksikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 kerusi.
Notis berkaitan cadangan pembentukan 17 kawasan baharu itu akan diterbitkan dalam akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post esok untuk penelitian awam.
Selain itu, notis berkenaan turut akan dipamerkan di lokasi terpilih di setiap kawasan Parlimen di seluruh Sarawak selama sebulan, selaras dengan Seksyen 4(b), Bahagian II, Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Tempoh tersebut bertujuan memberi peluang kepada mana-mana pihak atau representasi yang berkepentingan mengemukakan bantahan terhadap syor SPR mengikut prosedur ditetapkan.
Cadangan penambahan 17 kerusi DUN itu sebelum ini diluluskan oleh DUN Sarawak menerusi Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Keanggotaan) 2025 pada 7 Julai 2025.
Rang undang-undang berkenaan antara lain mengambil kira bahawa kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak kali terakhir dijalankan pada 2015, manakala jumlah pengundi di negeri itu meningkat dengan ketara sejak tempoh berkenaan.
Pelaksanaan penurunan umur kelayakan mengundi daripada 21 kepada 18 tahun turut menjadi antara faktor yang diambil kira dalam syor penambahan kerusi berkenaan.
Penggal ke-19 DUN Sarawak akan berakhir secara rasmi pada 14 Februari 2027.
Mengikut peruntukan Perlembagaan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan atau tamat tempoh.
PRN Sarawak ke-12 sebelum ini berlangsung pada 18 Disember 2021. - Getaran, 31 Ogos 2026




