Sarawak Energy lantik CEO Bintulu Port, Ruslan Abdul Ghani sebagai peneraju baharu mulai 1 September 2026

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 4:32 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak Energy lantik CEO Bintulu Port, Ruslan Abdul Ghani sebagai peneraju baharu mulai 1 September 2026 Image from: Sarawak Energy lantik CEO Bintulu Port, Ruslan Abdul Ghani sebagai peneraju baharu mulai 1 September 2026 hamden03/08/2026 - 16:32 Ruslan Abdul Ghani - Gambar/Borneo Post Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Sarawak Energy Bhd. (SEB) melantik Ruslan Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 1 September 2026 bagi meneruskan agenda pertumbuhan syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, menggantikan Datuk Sharbini Suhaili yang akan menamatkan kontraknya pada penghujung Oktober ini.

 

Pelantikan itu menyaksikan Ruslan akan menjalani tempoh peralihan kepimpinan selama dua bulan bersama Sharbini serta barisan jawatankuasa eksekutif bagi memastikan kesinambungan operasi dan pelaksanaan strategi jangka panjang syarikat berjalan lancar.

 

Dalam satu kenyataan, Sarawak Energy berkata, Ruslan menyertai syarikat utiliti milik kerajaan Sarawak itu daripada Bintulu Port Holdings Bhd., di mana beliau berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

 

Beliau turut mempunyai pengalaman luas dalam sektor tenaga selepas memegang beberapa jawatan kepimpinan kanan di PETRONAS, termasuk di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

 

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Bintulu Port Holdings Bhd mengumumkan pelantikan bekas eksekutif kanan PETRONAS, Anuar Ismail sebagai CEO Kumpulan menggantikan Ruslan berkuat kuasa 17 Ogos 2026.

 

Dalam pada itu Pengerusi Sarawak Energy, Datuk Ibrahim Baki berkata, Lembaga Pengarah yakin pengalaman luas Ruslan dalam sektor tenaga dan infrastruktur akan membantu syarikat meneruskan peranannya sebagai peneraju utiliti tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

 

"Kepakaran beliau dalam sektor tenaga dan infrastruktur, digabungkan dengan komitmen tinggi terhadap kecemerlangan operasi serta kemampanan, akan membolehkan Sarawak Energy terus melaksanakan strategi jangka panjang sambil menyokong aspirasi Sarawak dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

 

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat ketika Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab tenaga hijau serantau, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga bersih bagi menyokong pembangunan industri dan ekonomi digital.

 

Dalam pada itu, Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada Sharbini atas sumbangannya sepanjang menerajui Sarawak Energy.

 

Menurut beliau, di bawah kepimpinan Sharbini, syarikat itu berjaya berkembang menjadi antara syarikat utiliti tenaga boleh diperbaharui terkemuka di Asia Tenggara menerusi pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecemerlangan Sarawak Energy.

 

"Beliau memperkukuh daya tahan operasi dan kewangan kumpulan, memperluaskan kesalinghubungan tenaga di peringkat serantau serta meletakkan Sarawak sebagai antara kuasa baharu dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

 

Sarawak Energy kini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab tenaga boleh diperbaharui serantau melalui pembangunan projek hidroelektrik, tenaga hijau serta infrastruktur penghantaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri dan agenda peralihan tenaga negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved