SPR teruskan sistem OCR-VA, papar bilangan pengundi masa nyata

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SPR teruskan sistem OCR-VA, papar bilangan pengundi masa nyata

JASIN – Sistem Kehadiran Pengundi Melalui Pengecaman Aksara Optikal (OCR-VA) akan digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom berkata, penggunaan sistem itu diteruskan bagi membolehkan data kehadiran pengundi diperoleh dan dipantau secara masa nyata.

Jelas beliau, ia juga merupakan langkah untuk memodenkan pengurusan pilihan raya serta meningkatkan kecekapan pengumpulan data.

“Kita masih menggunakan sistem ini (OCR-VA). Ia sangat berguna bagi mengumpul data kerana kita dapat data secara masa nyata. Sesiapa sahaja boleh pergi ke laman web kita untuk melihat bilangan pengundi yang datang.

“Kalau tidak, kita selalunya perlu menunggu kemas kini setiap satu jam. Sekarang kita dapat kemas kini secara masa nyata,” katanya semasa meninjau persiapan petugas pilihan raya di Merlimau di sini hari ini.

Beliau berkata, sistem berkenaan membolehkan orang ramai termasuk penganalisis politik mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah pengundi yang hadir tanpa perlu menunggu pengumuman berkala.

Selain itu, petugas pilihan raya juga telah membiasakan diri dengan penggunaan sistem berkenaan yang disifatkan mudah dikendalikan.

Malah tambah beliau, sistem tersebut mampu menyediakan data yang tepat tanpa menjejaskan kelancaran proses pengundian.

“Setahu kami, petugas pilihan raya tidak mendapati sistem ini terlalu mengelirukan atau rumit. Ia agak mudah dan tepat. Kita meneruskannya sebagai salah satu usaha untuk memodenkan lagi sistem pengundian kita,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa penggunaan OCR-VA tidak menjejaskan kerahsiaan undi serta tidak memberikan kesan ketara terhadap tempoh masa yang diambil oleh seseorang pengundi mengundi.

“Saya rasa ia tidak memberi kesan langsung kepada kerahsiaan undi kita dan tidak memberi kesan serius kepada masa yang diambil untuk mengundi.

“Ini adalah satu percubaan untuk memperbaiki sistem pengundian kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post SPR teruskan sistem OCR-VA, papar bilangan pengundi masa nyata appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved