SPRM beku 41 akaun bank Aman Palestin, siasat penyelewengan dana RM70 juta

23 Nov 2023 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SPRM beku 41 akaun bank Aman Palestin, siasat penyelewengan dana RM70 juta

zulfadli

23/11/2023 - 12:53

KUALA LUMPUR 23 Nov - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan sebanyak 41 akaun Aman Palestin Bhd dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan membabitkan wang berjumlah lebih RM15 juta.

SPRM berkata, ia berhubung siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

Katanya, pihaknya juga merakam beberapa keterangan saksi penting dan hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu membabitkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat berkenaan.

"Sebelum ini, SPRM membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

"Siasatan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan mengikut Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

SPRM sebelum ini menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan sebelum pihaknya memanggil beberapa individu bagi dirakamkan keterangan.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan oleh NGO terbabit dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh NGO terbabit dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut.

Oleh itu, pihak berkuasa agama negeri itu menangguhkan pengumpulan dana oleh NGO berkenaan di Perlis bermula 12 Oktober lalu sehingga siasatan selesai. - DagangNews.com