SHAH ALAM, 4 MAC: Seramai 322 orang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh dua bulan bermula Januari lalu, kata Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, sebanyak 238 kertas siasatan berkaitan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dibuka sepanjang tempoh berkenaan dengan 99 individu dituduh di mahkamah, lapor Berita Harian.
“Kertas siasatan yang dibuka pada Januari membabitkan 138 fail dan baki bulan lalu,” katanya seperti dilaporkan portal tersebut, hari ini.

Beberapa operasi besar dijalankan SPRM tahun ini antaranya Op Sky membabitkan sebuah syarikat perunding kewangan yang bersekongkol dengan pegawai bank bagi memperdaya ribuan penjawat awam.
Dalam Op Airway, sebanyak 12 akaun dan beberapa aset dibekukan susulan penahanan pegawai kastam, orang awam dan pengarah syarikat dalam sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai rokok elektronik.
Terbaharu, SPRM juga menahan empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan Perdana Menteri ke-9 Datuk Ismail Sabri Yaakob dan menemui lebih RM170 juta wang tunai pelbagai negara.
Turut ditemui jongkong emas bernilai RM7 juta dalam tiga peti besi di sebuah ‘safehouse’.
The post SPRM buat 322 tangkapan sejak Januari, 99 dituduh di mahkamah appeared first on Selangorkini.

