PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih agar tampil membuat laporan rasmi berhubung dakwaan permintaan dan pembayaran wang melibatkan seorang ahli politik yang tular di media.
SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum pelbagai dakwaan yang sedang berlegar, namun maklumat tersebut masih belum dapat disahkan.
"Setakat ini tiada laporan rasmi diterima, perkara itu memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang tindakan diambil.
"Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih agar tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus serta berasaskan fakta," katanya.
Dalam masa sama, SPRM menegaskan komitmennya untuk meneliti setiap maklumat yang diterima dan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh selaras dengan peruntukan undang-undang.
Pada Selasa, media melaporkan ahli perniagaan yang terpalit dalam skandal 'mafia korporat', Victor Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen (MP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta beliau menyediakan wang tunai sebanyak RM10 juta bagi menyelesaikan skandal tersebut.
Dalam dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa didakwanya itu, Victor bagaimanapun berkata, dirinya hanya menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.
Menurutnya, namun baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kepada ahli Parlimen tersebut kerana isu berkenaan tidak diselesaikan

