SPRM kemukan 6 syor tambah baik pengurusan, bantuan kewangan rumah ibadat bukan Islam

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 6:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM kemukan 6 syor tambah baik pengurusan, bantuan kewangan rumah ibadat bukan Islam
Awgkok Ahmad Taufik Putra (kiri) menerima dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola daripada Zulkeflee Sulaiman di Putrajaya di sini pada Isnin. Foto: SPRM

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mengemukakan enam cadangan penambahbaikan tatakelola berhubung proses pengurusan dan penyaluran bantuan kewangan bagi inisiatif penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di seluruh negara.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, antara syor tersebut ialah keperluan menambah baik Garis Panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan mewajibkan setiap RIBI berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atau pertubuhan RIBI yang sah di bawah peruntukan undang-undang agama.

"Selain itu, SPRM turut mencadangkan penetapan justifikasi pelanjutan tempoh (EOT) yang terhad kepada situasi luar jangka serta mewujudkan prosedur khusus bagi pemulangan semula dana bantuan yang gagal dibelanjakan atau sekiranya RIBI didapati melanggar syarat permohonan.

"Bagi memperketat aspek pemantauan, syor keempat dan kelima menggariskan keperluan mewujudkan borang perincian kerja pembaikan yang lebih jelas serta borang laporan pemantauan fizikal di tapak oleh Pasukan Teknikal yang dilengkapi gambar lawatan.

"Cadangan keenam pula melibatkan penyediaan ruang perakuan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 bagi mengesahkan bahawa segala dokumen dan maklumat dikemukakan oleh pihak RIBI adalah betul serta mematuhi peraturan semasa," katanya pada Isnin.

Inisiatif tersebut diambil susulan penyiasatan tatakelola oleh SPRM Negeri Sembilan berhubung terdapat kes RIBI yang gagal melaksanakan projek penyelenggaraan rumah ibadat selepas menerima dana daripada KPKT.

Syor berkenaan dibentangkan SPRM kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahterhaan Komuniti) KPKT, Zulkeflee Sulaiman yang mewakili Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira Dr M Noor Azman Taib dalam sesi pembentangan yang diadakan di Putrajaya di sini pada Isnin.

Sementara itu, Zulkeflee menyambut baik kesemua enam syor berkenaan dalam usaha memperkukuh integriti, tatakelola dan kawalan dalaman.

Dalam sesi itu, Zulkeflee bersetuju menerima cadangan berkenaan dan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan oleh Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved