SPRM temui timbunan Rolex, jongkong emas dirumah isteri kedua bekas PTD

LocalPolitics
10 Jan 2026 • 5:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Puluhan jam tangan mewah berjenama Rolex bernilai kira‑kira RM2 juta ditemui bertimbun dalam dua bagasi ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah sebuah kediaman dipercayai milik isteri kedua bekas Panglima Tentera Darat (PTD) di Pantai Timur, hari ini.

Dalam operasi sama, SPRM turut menyita barangan kemas milik seorang individu dipercayai bersubahat, dengan nilai anggaran RM225,000.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, mengesahkan serbuan dan penemuan barangan berharga itu.

“SPRM mengesahkan serbuan dan penemuan barangan berharga tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, SPRM menyita tiga jongkong emas tulen 999 seberat satu kilogram setiap satu dengan nilai kira‑kira RM1.8 juta daripada suspek yang disiasat berhubung projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Keseluruhan sitaan setakat ini dianggarkan bernilai RM6.9 juta, termasuk jongkong emas, sembilan keping emas 100 gram bernilai lebih setengah juta ringgit, sebuah kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) bernilai RM360,000 yang dibeli secara tunai, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing – Dolar AS, Euro, Pound, Yen dan Riyal.

Kenderaan mewah itu ditemui di sebuah bengkel di Lembah Klang, dipercayai ditinggalkan untuk dibaiki.

Semua sitaan dijalankan mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

SPRM sebelum ini turut menyita enam akaun bank dipercayai milik bekas PTD dan ahli keluarganya, selain memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan berhubung siasatan projek perolehan TDM yang dilaksanakan melalui tender terbuka dan Pusat Tanggungjawab (PTJ). - 10 Januari, 2026

The post SPRM temui timbunan Rolex, jongkong emas dirumah isteri kedua bekas PTD appeared first on Scoop.