SPRM, PDRM tahan individu berkait RCI TH

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 11:25 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPRM, PDRM tahan individu berkait RCI TH

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan beberapa individu penting yang dikaitkan dengan penyelewengan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, siasatan penuh terhadap dapatan RCI telah dimulakan serta-merta selepas mendapat persetujuan Kabinet pada akhir bulan lalu.

Beliau berkata, tindakan tegas itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan dan tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terbabit dalam salah guna kuasa mahupun pecah amanah terhadap harta dan dana suci milik jemaah haji negara.

“Dalam hal ini, saya mengambil kesempatan menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan agar siasatan berhubung dapatan RCI mengenai TH dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa sebarang kompromi sehingga ke lubang cacing.

“Keprihatinan baginda menggariskan kepentingan utama dalam memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara ini adalah selari dengan iltizam kerajaan Madani,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, sukar untuk mengatakan bahawa mereka yang bertanggungjawab pada ketika itu tidak mengetahui masalah yang sedang membarah dalam TH.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) sudah mengeluarkan lima siri surat peringatan kepada Pengerusi TH dan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu mengenai masalah jurang antara aset dan tanggungan TH.

“Mereka sudah diberi amaran bukan satu kali, bukan dua kali, tetapi lima kali bahawa keadaan itu perlu diperbetulkan segera bagi memastikan TH tidak terus melanggar undang-undang.

“Semua mesti tahu amaran-amaran BNM itu bukannya tanpa asas. Asasnya, sekiranya ia tidak ditangani, maka ia berisiko menimbulkan kesan yang parah kepada kedudukan dan kestabilan kewangan negara.

“Jadi apa yang berlaku adalah, surat-surat amaran yang diutuskan BNM itu tidak pernah diendahkan, apatah lagi diberi perhatian dan diambil tindakan oleh pengurusan TH pada ketika itu,” katanya.

Tambahnya, kedudukan TH ketika itu berpotensi menimbulkan risiko sistemik kepada kestabilan kewangan negara dan malangnya, surat-surat itu tidak diendahkan oleh kepimpinan TH ketika itu.

Sementara itu, Zulkifli berkata, TH sudah berjaya melaksanakan lebih 75 peratus daripada syor RCI bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi itu.

“Dalam hal ini, TH sudah menyatakan komitmen untuk menyelesaikan baki syor yang relevan sedang giat dalam pelaksanaan,” katanya.-UTUSAN

The post SPRM, PDRM tahan individu berkait RCI TH appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved