SPRM, PERKESO bekerjasama tangani penipuan dana

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 6:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: SPRM, PERKESO bekerjasama tangani penipuan dana
Mohammed Azman (empat dari kiri) ketika menerima kunjungan Ahmad Khusairi (empat dari kanan) di Ibu Pejabat PERKESO pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bekerjasama dalam mempertingkatkan langkah pencegahan bagi mengekang pemalsuan tuntutan melibatkan dana pertubuhan terbabit.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, bahawa pertemuan dan perbincangan ini penting bagi mengenal pasti punca-punca kelemahan yang wujud sehingga membuka ruang dan peluang kepada individu atau syarikat untuk memanipulasinya.

“Tiba masanya kita mencari jalan penyelesaian bagi menambah baik undang-undang, peraturan dan sistem yang dilaksanakan oleh PERKESO bagi mengekang ketirisan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan antara SPRM dan PERKESO di Ibu Pejabat PERKESO di sini pada Rabu.

Ahmad Khusairi berkata, berdasarkan rekod tahun 2021, SPRM dengan kerjasama PERKESO membuka sebanyak 182 kertas siasatan melibatkan tangkapan seramai 302 individu.

“Tahun 2022 dan 2023 menerusi Ops Hire 1 dan Hire 2, sejumlah 120 kertas siasatan telah dibuka di seluruh negara melibatkan tangkapan seramai 155 individu.

“Sejumlah 255 individu telah dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu, iaitu kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammad berkata, pihaknya melihat keseriusan isu pemalsuan ini dan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk membanterasnya.

Jelasnya, PERKESO amat menghargai kerjasama SPRM dalam menjalankan siasatan ke atas syarikat, ejen dan individu yang mengemukakan tuntutan palsu.

“Pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan oleh PERKESO termasuk mewujudkan Unit Khas Penyiasatan Fraud bagi mengesan pemalsuan ini,” ujarnya.

Mohammed Azman berkata, pihaknya turut akan mencadangkan satu sistem bersepadu bagi mengintegrasikan data dengan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagai elemen semak dan imbang bagi setiap permohonan dana.