SPRM sahkan Muhyiddin ditahan, didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok

LocalPolitics
9 Mar 2023 • 6:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Suruhanjaya itu berkata Muhyiddin ditahan pada 1 tengah hari tadi selepas hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa Ahli Parlimen Pagoh itu daripada Pejabat Peguam Negara.

SPRM memaklumkan Muhyiddin bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun parti Bersatu dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa). - Bernama