SPRM Sahkan Terima Laporan Ahli Perniagaan Dakwa Ada Bukti PN Terima Dana Judi

Politics
30 May 2023 • 4:55 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang individu tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan bahawa Perikatan Nasional telah menerima dana daripada syarikat perjudian.

Ahli perniagaan berkenaan, Rashdan Yusuf mendakwa dia mempunyai bukti yang mengaitkan pakatan politik berkenaan dengan syarikat perjudian dan mahu pihak SPRM menjalankan siasatan lanjut.

Tambahnya lagi, maklumat yang diperolehinya disokong oleh beberapa dokumen dan siasatan diserahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM atas dakwaannya tersebut.

image is not available

Menurut laporan, Rashdan tiba di ibu pejabat SPRM sekitar jam 9.30 pagi tadi mendakwa dia tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana parti politik mahupun organisasi bukan kerajaan dan dia telah meluangkan masa sekitar 3 jam untuk memberikan keterangan.

Perkara tersebut turut disahkan oleh sumber SPRM yang menyatakan bahawa pihak mereka telah merekod keterangan yang dibuat tersebut.

Terdahulu, portal MalaysiaKini telah memetik dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan bahawa sebahagian dana PN untuk kempen pilihan rayanya datang daripada syarikat perjudian, terutamanya yang mengambil bahagian dalam “cabutan khas” untuk nombor 4D.

image is not available

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato Sri Azalina Othman Said memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu bahawa SPRM telah menjalankan kajian terperinci berhubung maklumat yang diberikan mengenai dakwaan itu, tetapi mendapati ia “terlalu umum”.

Selepas itu, tiada kertas siasatan dibuka berhubung perkara itu, katanya.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin kemudian berkata gabungan itu akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar dan Zahid atas kenyataan mereka, dengan mendakwa mereka berunsur fitnah.

Anwar kemudiannya berkata siasatan sedang dijalankan dan mengulangi bahawa beliau tidak akan membuat dakwaan sedemikian tanpa sebarang asas, mengalu-alukan sebarang tindakan undang-undang oleh pakatan pembangkang.

Sumber : FMT

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.