SPRM tahan anggota Penguat Kuasa yang didakwa meminta habuan seks dari wanita 20-an, jika enggan dikenakan tindakan

10 Nov 2023 • 8:44 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota lelaki sebuah agensi Penguat Kuasa di Johor kerana disyaki meminta ‘habuan’ atau ‘upah’ dalam bentuk seks.

Habuan tersebut dikatakan sebagai balasan wanita tersebut yang gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan ketika bersama wanita berusia dalam lingkungan 20-an dalam satu operasi khas semalam di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira pukul 7.30 malam.

Sumber berkata, wanita tersebut dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan daripada diambil tindakan, suspek telah meminta habuan seks.

“Wanita tersebut dipercayai pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru,” katanya.

Susulan penahanan tersebut, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien telah mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 13 November 2023 terhadap suspek.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.