
BATU PAHAT: Polis menahan seorang lelaki kerana menghalang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) daripada mengeluarkan kompaun terhadapnya atas kesalahan berkaitan parkir kereta di Jalan Flora, Taman Flora, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata lelaki berumur 33 tahun itu ditahan selepas penguat kuasa berkenaan membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat pada pukul 3.50 petang.
Beliau berkata terdahulu dalam pada pukul 11 pagi, lelaki berkenaan dikatakan menyerang dengan menolak penguat kuasa MPBP itu sehingga terjatuh, dan pergaduhan antara mereka kemudiannya dileraikan orang awam di tempat kejadian.
“Kedua-dua pihak mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata lelaki itu disiasat bagi kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam. -Bernama

