KOTA KINABALU - Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu membabitkan tuntutan kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 11 pagi Isnin.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2024.
Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini bagi tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027.
Sumber turut memaklumkan, lelaki itu dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan kontrak di beberapa agensi kerajaan sekitar negeri ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.






