liza05/08/2026 - 16:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga lagi individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan membabitkan Notis Penalti (NOP) bernilai kira-kira RM450,000 yang dikaitkan dengan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Ketiga-tiga suspek terdiri daripada seorang timbalan pengurus besar pembinaan, seorang pengurus keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta seorang pengarah projek sebuah syarikat hartanah yang merupakan anak syarikat kepada sebuah badan berkanun.
Mereka yang berusia lingkungan 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada petang semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.
Majistret Putrajaya membenarkan ketiga-tiga mereka direman selama lima hari sehingga 9 Ogos bagi membolehkan SPRM melengkapkan siasatan.
Disyaki bersubahat seleweng RM450,000
Ketiga-tiga individu itu disyaki bersubahat dalam penyelewengan berkaitan caj NOP yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM450,000.
Kesalahan itu dipercayai berlaku antara 2017 hingga 2019 dan dikenal pasti hasil semakan pasukan khas SPRM yang ditubuhkan susulan pendedahan dalam Laporan RCI Tabung Haji.
ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan RCI Tabung Haji: SPRM tahan bekas CEO, CFO syarikat milik badan berkanun
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.
SPRM sebelum ini memaklumkan akan meneliti setiap dapatan dalam laporan RCI bagi mengenal pasti sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
Susulan reman bekas CEO dan CFO
Penahanan terbaharu itu merupakan perkembangan susulan selepas SPRM menahan reman dua bekas pegawai kanan sebuah syarikat milik badan berkanun iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) bagi membantu siasatan kes berkaitan.
Kedua-dua mereka direman selama lima hari sehingga 9 Ogos selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah, penipuan serta penyalahgunaan dana Tabung Haji membabitkan transaksi yang dipercayai berlaku antara 2016 hingga 2018.
Pada 31 Julai lalu, SPRM menggerakkan lapan pegawai ke ibu pejabat Tabung Haji bagi mendapatkan dan meneliti dokumen berkaitan dapatan RCI sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
Siasatan itu dijangka diteruskan dengan kemungkinan lebih ramai individu dipanggil memberi keterangan bagi membantu SPRM melengkapkan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang dibangkitkan dalam Laporan RCI Tabung Haji. - DagangNews.com






